WEST YORKSHIRE – Seorang lelaki didapati bersalah membunuh isterinya yang ditikam hingga mati ketika wanita itu sedang menyorong anak mereka berusia tujuh bulan dalam kereta sorong.
Menurut laporan Sky News, lelaki terbabit, Habibur Masum, 26, dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dengan raut wajah tersenyum selepas melarikan diri daripada tempat kejadian.
Masum menyerang isterinya, Kulsuma Akter, 27, selepas mengesannya berada di sebuah pusat perlindungan.
Mahkamah Bradford Crown mendedahkan bahawa Akter cuba melarikan diri daripada sikap suaminya yang didakwa ganas, kuat cemburu serta sering mengawal pergerakannya.
Akter mengalami lebih 25 kecederaan akibat tikaman selepas Masum berjaya menjejaki lokasi wanita itu melalui telefon dan menyerangnya di sebuah jalan di Bradford, West Yorkshire pada 6 April tahun lalu.
Pendakwa raya, Steve Wood KC berkata, selepas kejadian, Masum melarikan diri menaiki bas, dan rakaman CCTV menunjukkan dia tersenyum dalam perjalanan tersebut.
Menurut beliau, imej itu bertujuan untuk menghilangkan keraguan mengenai niat dan keadaan mental tertuduh ketika kejadian.
“Tiada air mata, tiada kesedihan. Kepada ahli juri, senyuman yang anda lihat (dalam CCTV) itu adalah hasil daripada pemikiran Masum bahawa dia akan terlepas,” katanya kepada mahkamah.
Masum ditahan selepas diburu selama empat hari, kira-kira 150 batu dari lokasi kejadian, di Aylesbury, Buckinghamshire – lokasi tempat tinggalnya ketika pasangan itu pertama kali tiba di United Kingdom (UK) selepas berkahwin di Bangladesh.
Masum sebelum ini mengaku bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat dan memiliki senjata berbahaya, tetapi menafikan pertuduhan membunuh. Dia mendakwa berniat untuk membunuh diri di hadapan isterinya namun hilang kawalan sepenuhnya.
Bagaimanapun, pada Jumaat lalu, Masum didapati bersalah atas tuduhan membunuh, melakukan serangan, membuat ugutan bunuh dan menghendap. Dia dibebaskan daripada satu lagi tuduhan serangan.
Hakim, Mr Justice Cotter, memaklumkan bahawa hukuman akan dijatuhkan pada 22 Julai, termasuk penetapan tempoh minimum hukuman penjara seumur hidup.