Elak pinjaman haram, guna saluran pinjaman berlesen - Kor Ming

Iklan
Kor Ming

SHAH ALAM – Orang ramai yang berkeperluan dinasihatkan supaya tidak terjebak dengan pinjaman haram, sebaliknya menggunakan saluran sah iaitu pemberi pinjam wang berlesen yang berdaftar di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, di bawah akta tersebut, kadar faedah bagi pinjaman tanpa cagaran tidak boleh melebihi 18 peratus setahun, manakala bagi pinjaman bercagar tidak boleh melebihi 12 peratus setahun.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemberi pinjam wang juga tidak dibenarkan mengenakan kadar faedah yang melebihi jumlah pokok pinjaman.

"Seksyen 29(B) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400) melarang pemberi pinjam wang berlesen atau wakilnya daripada mengunjungi kediaman peminjam atau tempat mereka mencari rezeki bagi tujuan kutipan bayaran balik pinjaman termasuk dengan tujuan mengugut peminjam.

Iklan

"Jika berlaku pelanggaran terhadap peruntukan ini, orang ramai digesa untuk segera membuat laporan kepada KPKT atau polis agar tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pihak yang terlibat.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya sentiasa menyemak status pemberi pinjam wang yang berlesen dan berdaftar dengan KPKT melalui aplikasi i-Kredikom atau dengan menghubungi pihak kementerian," katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejadian kebakaran tiga rumah teres di Taman Tasek Gelugor Utama, Seberang Perai, Pulau Pinang yang disyaki dilakukan oleh pemberi pinjaman wang haram.

Tambah Kor Ming, pihaknya memandang serius kegiatan pinjaman wang haram oleh along yang mengambil kesempatan terhadap golongan berpendapatan rendah dan terdesak, selain menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

"Ah Long atau pemberi pinjam wang haram sering mengambil kesempatan terhadap individu yang terdesak akibat kesempitan kewangan dengan memerangkap mereka dalam kitaran hutang yang ganas melalui kadar faedah melampau, gangguan serta keganasan.

"Oleh itu, saya menggesa pihak polis agar mengambil tindakan tegas dan menyeluruh bagi membanteras kegiatan ini sehingga ke akar umbi," ujarnya.