'Ramai beri alasan tidak selesa guna jaket keselamatan' - Maritim Malaysia

Iklan
Antara aset Maritim Malaysia yang terlibat semasa Program Sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim di Tanjung Harapan, Klang pada Sabtu.

KLANG - Tidak mahu menggunakan jaket keselamatan kerana tidak selesa antara alasan utama komuniti maritim ketika melakukan aktiviti di laut.

Berdasarkan rekod, kira-kira 80 peratus daripada 226 kes yang direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sepanjang tahun lepas adalah kerana tiada penggunaan jaket keselamatan.

Iklan
Iklan

Pengarah Bahagian Operasi Udara Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Mohd Tahir Khalid berkata, bagi tempoh tahun 2024 hingga Mei lepas, 1,599 mangsa terlibat termasuk 100 orang meninggal dunia dalam kemalangan di laut dengan jumlah 334 kes.

"Berdasarkan rekod Maritim Malaysia, pada tahun 2024, sebanyak 226 kes insiden di laut direkodkan melibatkan 1,348 mangsa, iaitu 1,259 orang berjaya diselamatkan, 64 meninggal dunia, dan 25 masih hilang.

Iklan

"Bagi tahun ini, setakat Mei, sudah terdapat 108 kes membabitkan 251 mangsa dengan 203 berjaya diselamatkan, 36 meninggal dunia, dan 12 masih hilang," katanya kepada pemberita semasa Program Sambutan Hari Keselamatan Maritim Bertema 'Berapung Untuk Hidup' di Tanjung Harapan di sini pada Sabtu.

Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh.

Iklan

Tambah Mohd Tahir, angka berkenaan memberi gambaran yang membimbangkan.

Beliau berkata, jika trend itu berterusan, kemungkinan peningkatan dua kali ganda kes kematian dan kehilangan pada penghujung tahun ini.

"Mereka yang melakukan aktiviti di laut sering memberi alasan tidak selesa untuk menggunakan jaket keselamatan, dan insiden-insiden kemalangan kebanyakan sering berlaku pada musim Monsun Timur Laut," ujarnya.

Maritim Malaysia melakukan demonstrasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Tanjung Harapan, Klang pada Sabtu.

Jelas beliau, penggunaan jaket keselamatan ini sekurangnya membantu mangsa untuk berapung sementara menunggu bantuan tiba.

"Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran keselamatan secara menyeluruh, bukan sahaja kepada komuniti maritim tetapi juga masyarakat umum yang berisiko ketika berada di laut," ujarnya.

Mohd Tahir dalam pada itu turut menekankan terhadap aspek keselamatan menjelang musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pada November nanti.

“Komuniti maritim disarankan membuat semakan ramalan cuaca sebelum ke laut, memastikan keadaan bot dan peralatan selamat digunakan, membawa Personal Locator Beacon (PLB), jaket keselamatan, kit kecemasan serta memaklumkan lokasi kepada keluarga atau kenalan,” katanya.

Tegasnya, Maritim Malaysia turut menyeru agar masyarakat tidak memandang ringan aspek keselamatan, sebaliknya mengambil peluang mempelajari kemahiran asas seperti berenang dan teknik berapung sebagai persediaan menghadapi situasi luar jangka.

"Maritim Malaysia menyeru orang ramai agar menilai semula tahap persediaan diri dan mempelajari teknik berapung dengan betul. Ini bukan hanya untuk nelayan atau pelaut, tetapi untuk semua, setiap individu yang mungkin berada di laut, sama ada atas urusan kerja mahupun rekreasi," katanya.

6 Jun lepas, polis mengesahkan enam warga tempatan yang terbabit dalam tragedi bot terbalik di perairan Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, tidak memakai jaket keselamatan.