Cabaran besar menanti Amir Hamzah

Iklan
Amir Hamzah - Foto: Bernama (Gambar kecil: Mustazar)

SHAH ALAM - Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menggalas tanggungjawab besar selepas dilantik untuk menjalankan tugas Menteri Ekonomi, dalam meneruskan agenda pemulihan dan pertumbuhan ekonomi negara terutama menjelang pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mustazar Mansur berkata, antara cabaran utama yang menantinya ialah mengolah dan merombak semula intipati naskhah RMK13 agar selari dengan aspirasi Malaysia sebagai negara maju berteraskan rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Amir Hamzah juga perlu memastikan dokumen dasar lima tahun yang dijadual dibentang pada 31 Julai ini mampu membawa keseimbangan pembangunan antara wilayah dan mengurangkan ketidaksamaan antara rakyat.

“Kita bimbang apabila negara semakin maju, ada kelompok yang terlepas pandang. RMK13 ini mesti menyentuh golongan B40, M40 dan kawasan yang selama ini ketinggalan.

Iklan

“Jadi, beliau perlu pastikan tidak wujud jurang yang lebih besar antara yang kaya dan miskin,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang Amir Hamzah yang juga Menteri Kewangan II, dilantik menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.

Iklan

Menurut Mustazar, kelebihan Amir Hamzah terletak pada latar belakang korporatnya yang luas melibatkan KWSP, TNB, Shell, MISC, Petronas dan pelbagai lagi, membolehkan beliau memahami keperluan rakyat dan ekonomi negara secara menyeluruh.

“Antara cabaran ketara yang perlu diberi perhatian ialah impak ketidaktentuan geopolitik dunia terhadap harga minyak mentah global yang boleh menyebabkan peningkatan subsidi domestik dan menekan kewangan kerajaan.

“Walaupun negara mendapat hasil daripada eksport minyak, kita masih tanggung subsidi seperti bahan api dan elektrik. Dalam keadaan fiskal semasa, ini satu tekanan besar kepada kerajaan.

“Sebab itu pelaksanaan subsidi bersasar, bantuan tunai dan program seperti Jualan Rahmah perlu diteruskan. Ini pendekatan langsung bantu rakyat dalam situasi kos sara hidup tinggi,” ujarnya.

Mustazar berkata, latar belakang Amir Hamzah sebagai teknokrat dan bukan politik memberi kelebihan kerana beliau tidak terikat dengan tekanan politik dan boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelaksanaan dasar.

“Saya bukan kata (Datuk Seri) Rafizi (Ramli) tidak bagus, tetapi saya lihat faktor politik banyak jejaskan beliau. Amir Hamzah datang dengan kelebihan neutraliti politik dan tumpuan penuh kepada ekonomi. Ini penting dalam situasi sekarang,” ujarnya.

Beliau berkata, sesi libat urus menyeluruh perlu dilakukan menjelang pembentangan RMK13 bagi memastikan semua pemegang taruh, daripada rakyat marhaen hingga syarikat besar dan kerajaan negeri dapat menyuarakan pandangan dan keperluan masing-masing.