SST: Jangan buat keputusan sekadar redakan kritikan - PN

Iklan
Ronald Kiandee

SHAH ALAM – Kerajaan Madani diingatkan agar tidak membuat sebarang keputusan dasar termasuk dalam isu cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sekadar untuk meredakan kritikan semata-mata.

Ketua Portfolio Pertanian dan Keterjaminan Makanan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebaliknya berkata, sebarang ketetapan yang diambil seharusnya bertujuan untuk meringankan beban rakyat.

Iklan
Iklan

Tegasnya, pengecualian buah oren dan epal daripada SST serta penambahan limau mandarin dan kurma secara umumnya merupakan langkah yang baik.

"Namun, ia masih jauh daripada mencukupi. Jika alasan kerajaan untuk tidak mahu rakyat biasa terkesan dengan peluasan SST dijadikan sandaran, mengapa hanya empat jenis makanan yang dikecualikan?

Iklan

"Apakah empat jenis buah ini sahaja yang dianggap sebagai keperluan harian rakyat? Bagaimana pula dengan mangga, pisang, ikan selar, ikan tongkol, ikan bilis dan pelbagai lagi barangan asas yang digunakan oleh jutaan rakyat setiap hari?" katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, kelapa, santan dan kerisik misalnya adalah bahan utama dalam masakan rakyat, namun turut dikenakan SST sebanyak lima peratus.

Iklan

"Jika semasa pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), kelapa, santan dan kerisik dikecualikan daripada cukai, mengapa kini Kerajaan Madani mengenakan cukai ke atas bahan-bahan tersebut? Di manakah keadilan untuk rakyat?

"Pengumuman yang bersifat reaktif selepas menerima kritikan ramai susulan pelaksanaan serentak peluasan SST dan kenaikan tarif elektrik bermula 1 Julai tidak akan menyelesaikan beban bertimpa-timpa yang menjerut rakyat. Apatah lagi selepas ini, rasionalisasi subsidi RON95 pula dijangka menyusul," katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan perlu insaf bahawa rakyat tidak memerlukan gimik, sebaliknya mahukan keikhlasan dalam kepimpinan.

"Janganlah buat sesuatu keputusan sekadar untuk meredakan kritikan, sebaliknya buatlah keputusan yang benar-benar meringankan beban rakyat," ujarnya.