Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut bertembung kereta

Iklan
Kemalangan membabitkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dengan sebuah kereta di Jeli. Foto Ihsan PDRM

JELI – Seorang lelaki maut selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Batu 10, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di sini, pada Jumaat.

Mangsa berusia 33 tahun, beralamat di Jertih, Terengganu, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan, Hospital Jeli.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, kejadian berlaku pada jam 12.50 tengah hari melibatkan motosikal jenis Kawasaki ZX1000 serta kereta jenis Honda City 1.5.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati motosikal berkenaan datang dari arah Gerik menghala ke Jeli, manakala kereta pula dari arah bertentangan.

Iklan

Penunggang motosikal maut akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan. Foto Ihsan PDRM

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal tersebut hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang sedang melalui laluan itu dari arah Jeli ke Gerik,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan akibat kemalangan tersebut.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sekiranya terdapat saksi atau individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini, mereka boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Jeli di talian 09-9440222,” katanya.