KUALA SELANGOR – Tindakan seorang lelaki tempatan membawa pelajar menggunakan bas sekolah yang telah tamat tempoh cukai jalan mengundang padah apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Persiaran Puncak Alam 3, pada Isnin lalu.
Selain itu, individu berusia 60 tahun itu turut didapati tidak memiliki lesen memandu vokasional (PSV) ketika pemeriksaan dijalankan oleh anggota bertugas.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, pemeriksaan dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa JPJ ketika rondaan harian sekitar kawasan berkenaan kira-kira jam 6.40 petang.
"Selain tidak memiliki lesen PSV dan cukai jalan tamat tempoh, kesalahan lain yang turut dikesan adalah tiada perlindungan insurans yang sah serta pemeriksaan Puspakom yang telah tamat tempoh," katanya.
"Pemandu itu mengakui kesemua kesalahan dan memaklumkan bahawa dia hanya bekerja untuk mencari rezeki serta sedang dalam perjalanan mengambil dan menghantar pelajar sekolah pulang ke rumah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, JPJ telah mengeluarkan empat notis saman terhadap pemandu terbabit atas kesalahan yang dikenal pasti.
"Bagaimanapun, JPJ tidak menyita kenderaan tersebut bagi memastikan pelajar dapat dihantar pulang dengan selamat memandangkan ia merupakan bas sekolah berdaftar.
"JPJ Selangor akan terus melaksanakan penguatkuasaan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan aspek keselamatan serta perundangan, khususnya melibatkan pengangkutan pelajar," katanya.
Tegas beliau, pemandu bas dinasihatkan supaya memastikan kenderaan yang digunakan mematuhi semua syarat yang ditetapkan.
"Perkara ini termasuk memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM), insurans dan lesen PSV yang sah serta menjalani pemeriksaan Puspakom sebelum membawa penumpang.
"Sebarang aduan berkaitan kesalahan lalu lintas boleh dikemukakan melalui e-mel ke aduantrafik@jpj.gov.my atau menerusi aplikasi e-Aduan JPJ dengan menyertakan maklumat lengkap aduan," katanya.