Dua kes pecah rumah, curi jam mewah selesai dalam tempoh 24 jam

Iklan
Shahrulanuar Mushaddat (tengah) menunjukkan barangan yang dicuri pada sidang akhbar di IPD Batu Pahat.

BATU PAHAT – Dua kes berasingan melibatkan pecah rumah dan curi kenderaan serta curi jam tangan mewah dari dalam kereta berjaya diselesaikan polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejayaan itu hasil tindakan pantas dan risikan berkesan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) bersama Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Iklan
Iklan

"Dalam kes pertama, pada kira-kira 6 pagi Ahad lalu, seorang lelaki tempatan berumur 56 tahun mendapati rumahnya di Taman Soga Sutera, Batu Pahat telah dipecah masuk.

"Suspek melarikan barangan berharga dan sebuah kereta yang diparkir di hadapan rumah. Jumlah kerugian dianggarkan lebih kurang RM65,000.

Iklan

"Pada jam 5 petang hari sama, polis berjaya menahan dua lelaki tempatan berumur 50 dan 36 tahun di kawasan Peserai, Batu Pahat dan kemudiannya di Bandar Hilir, Melaka," ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Jelas beliau, polis berjaya menjumpai semula barangan curi dan kereta milik pengadu serta pakaian, peralatan dan sebuah kereta curi yang dipercayai digunakan dalam kejadian.

Iklan

Selian itu, polis turut merampas dadah dipercayai jenis heroin seberat 27.28 gram bernilai RM682 dan syabu seberat 4.26 gram bernilai RM468.60.

"Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine. Suspek berumur 50 tahun mempunyai 29 rekod jenayah dan dadah manakala suspek berumur 36 tahun pula mempunyai 30 rekod lampau.

"Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula Isnin untuk siasatan di bawah Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B, 12(2) dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Polis berjaya menemui kereta yang dicuri di Taman Soga Sutera Batu Pahat.

Sementara itu bagi kes kedua, pada kira-kira jam 9.30 malam Selasa lalu, seorang lelaki tempatan berumur 31 tahun menyedari keretanya yang diparkir di halaman rumah di Taman Sinar Berlian telah diselongkar.

"Suspek melarikan seutas jam tangan Rolex dan wang tunai RM700, dengan jumlah kerugian dianggarkan RM110,700.

"Suspek lelaki tempatan berumur 27 tahun berjaya diberkas di sebuah rumah di Taman Seri Wangsa pada kira-kira jam 3 pagi, Rabu.

"Polis turut menjumpai semula jam tangan Rolex milik pengadu serta pakaian dan peralatan dipercayai digunakan semasa kejadian," jelasnya.

Menurut beliau, saringan awal air kencing mendapati suspek positif Methamphetamine dan mempunyai 14 rekod jenayah serta dadah.

"Suspek telah dituduh di Mahkamah Batu Pahat pada Khamis mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dijatuhkan hukuman penjara satu tahun serta denda RM2,500.

"Proses siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-end-