Kes bunuh penuntut universiti: Tiga individu direman tujuh hari

Iklan
Tiga individu direman tujuh hari untuk membantu siasatan kes bunuh pelajar wanita di Cyberjaya direman tujuh hari bermula Jumaat.

SEPANG – Tiga suspek yang ditahan bagi siasatan kes pembunuhan seorang penuntut universiti swasta di unit kondominiumnya di Cyberjaya, direman selama tujuh hari bermula Jumaat.

Perintah reman sehingga 3 Julai depan itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Sepang, Azaraorani Abdul Rahman.

Iklan
Iklan

Sebelum itu, ketiga-tiga suspek yang terdiri daripada seorang lelaki dan dua perempuan, tiba di Mahkamah Sepang pada jam 8.30 pagi dalam keadaan bergari serta dikawal oleh anggota polis.

Mereka kemudiannya dibawa keluar dari kawasan mahkamah kira-kira jam 9.45 pagi.

Iklan

Terdahulu, polis menerima laporan berhubung pembunuhan tersebut pada jam 10.28 pagi, Selasa lalu, susulan penemuan mayat seorang penuntut wanita sebuah universiti di unit kediamannya di Cyberjaya.

Hasil pemeriksaan awal di lokasi kejadian mendapati tiada kesan pecah masuk di unit kediaman mangsa berusia 20 tahun itu.

Iklan

Mangsa yang juga pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi, dilaporkan tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, memaklumkan bahawa penahanan ketiga-tiga individu berkenaan dilakukan oleh sepasukan polis dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sekitar Johor Bahru dan Gemencheh, Negeri Sembilan, bermula jam 9 pagi Khamis hingga 2 pagi Jumaat.

Tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek yang dikenali oleh mangsa itu dibuat dalam tempoh 48 jam selepas laporan polis diterima.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.