Tujuh kenderaan parkir tepi jalan rosak dilanggar lori

Iklan
Polis menerima tujuh laporan berkaitan kejadian melibatkan beberapa kenderaan dilanggar sebuah lori di tepi jalan berhampiran Stesen LRT Glenmarie di sini pada Rabu.

SHAH ALAM – Polis menerima tujuh laporan berkaitan kejadian melibatkan beberapa kenderaan yang dilanggar sebuah lori di tepi jalan berhampiran Stesen LRT Glenmarie di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal bin Ibrahim berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 2.10 petang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, siasatan awal mendapati insiden berlaku apabila pemilik kenderaan terlibat meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan untuk menggunakan perkhidmatan LRT.

"Pemilik kenderaan itu menyedari kenderaan mereka mengalami kerosakan akibat dilanggar ketika mereka pulang dari tempat kerja.

Iklan

"Setakat jam 4.00 petang, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah menerima tujuh laporan polis berkaitan kejadian," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, kenderaan yang dipercayai terlibat adalah sebuah lori, namun jenis serta identiti pemandu masih belum dapat dipastikan.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

"Siasatan kini masih dijalankan dan pihak polis sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan berhampiran bagi mengenal pasti kenderaan yang terlibat dalam kejadian ini," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian tersebut diminta tampil membantu siasatan.

"Saksi bebas atau individu yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Shah Alam, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa buah kenderaan yang diletakkan di kawasan Stesen LRT Glenmarie di sini mengalami kerosakan, dipercayai akibat dilanggar lori.