Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 yang berlangsung baru-baru ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menandakan satu lagi detik penting dalam sejarah kewartawanan tanah air.
Bertemakan 'Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika', acara berprestij itu bukan sahaja meraikan golongan pengamal indusri dan jasa wartawan, tetapi membentuk hala tuju baharu dalam menghadapi cabaran landskap media kontemporari.
Majlis kemuncak Hawana 2025 menyaksikan detik bersejarah apabila Akta Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 berkuat kuasa serta merta dan Lembaga Pengasas MMM dimuktamadkan dengan pengumuman barisan 12 anggota.
Penguatkuasaan akta itu bertujuan menubuhkan badan kawal selia kendiri untuk memperkasakan pengamal media sambil memastikan akauntabiliti, seterusnya menangani kebimbangan orang ramai mengenai amalan media.
Seiring temanya tahun ini serta realiti era digital serba pantas, profesion kewartawanan tidak terkecuali mendepani cabaran baharu yang lebih kompleks berbanding dua atau tiga dekad dahulu.
Sebagai seorang wartawan yang baru mencecah usia 15 tahun pengalaman, penulis telah menyaksikan transformasi dunia media secara drastik iaitu daripada penggunaan mesin faks dan kamera filem kepada liputan secara langsung menggunakan telefon pintar serta penyuntingan automatik berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Tidak dinafikan, teknologi bukan sahaja mempercepatkan kerja wartawan, malah mengubah landskap keseluruhan industri berita.
Situasi ini penulis sentiasa lihat ketika turun ke lapangan untuk membuat liputan berita dan ternyata, wartawan 'Generasi Alpha' kebanyakannya bergantung kepada teknologi terkini dalam menghasilkan berita.
Penggunaan AI dalam dunia kewartawanan memberi manfaat besar terutama keupayaannya untuk mengautomatikkan transkripsi wawancara, penghasilan ringkasan artikel, analisis data besar serta pencarian maklumat pantas dari arkib.
Penggunaan beberapa perisian terkenal seperti ChatGPT, Gemini, DeepSeek dan sebagainya membantu mempercepatkan proses penulisan awal draf berita berdasarkan input tertentu.
Secara tidak langsung membolehkan wartawan menumpukan perhatian kepada kerja-kerja penyiasatan, pengesahan fakta serta membina naratif yang lebih bernilai.
Namun berdasarkan pengalaman penulis, terdapat kebimbangan wajar sekiranya kebergantungan kepada AI dibuat secara berlebihan kerana ia boleh menyebabkan kehilangan sentuhan manusia dalam penulisan berita.
Biarpun kecerdasan buatan itu hebat dengan algoritmanya, ia masih tidak mampu menandingi dan memahami konteks budaya, niat halus sumber atau membentuk hubungan interpersonal yang kritikal dalam kerja-kerja penyiasatan.
Tambahan pula, terdapat risiko etika apabila AI digunakan untuk menghasilkan berita secara automatik tanpa semakan menyeluruh oleh wartawan yang secara tidak sedar, boleh membuka ruang kepada penyebaran maklumat salah.
Justeru tugas wartawan di lapangan masih tidak dapat digantikan sepenuhnya walaupun teknologi memainkan peranan penting dalam mempercepatkan penyebaran maklumat.
Walaupun golongan wartawan sering dianggap 'busy body' atau tidak peka dengan keadaan sekeliling, namun cerita disebalik fakta menjadi bahan bacaan dinantikan masyarakat yang mahu turut merasai kesedihan dan keperitan ditanggung ahli keluarga terlibat.
Oleh yang demikian, teknologi termasuk AI harus dilihat sebagai pelengkap dan bukannya pengganti kepada profesion wartawan.
Peranan wartawan di lapangan masih penting dan tidak boleh diketepikan walau dalam dunia digital sepenuhnya kerana etika, integriti dan kecekapan tetap menjadi tiang seri kewartawanan.
Tidak salah 'memuja' teknologi, tetapi berita tanpa jiwa tidak menggambarkan erti sebenar kewartawanan.
* Diana Azis ialah wartawan Sinar Harian