Lelaki didenda RM100,000 mengaku ceroboh tanah kerajaan di Bentong

Iklan
Tertuduh (kiri) mengaku bersalah atas pertuduhan menduduki tanah milik Kerajaan Pahang tanpa kebenaran sah. Foto ihsan Pahang Media

RAUB – Seorang lelaki didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Raub pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menduduki tanah milik kerajaan negeri Pahang di Sungai Cherpai, Bentong tanpa kebenaran yang sah.

Tertuduh, Cheng Choon Foo, 48, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noor Zaihan Mohamad Ali.

Iklan
Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Hasmadi Mahyudin.

Mengikut kertas pertuduhan, Choon Foo didakwa telah menduduki tanah milik kerajaan negeri Pahang pada koordinat (U 3˚25’50.46” T 102˚1’36.25”), di Sungai Cherpai, Mukim Sabai, Bentong, tanpa kebenaran yang sah kira-kira jam 11.05 pagi pada 30 November 2023.

Iklan

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Pindaan 2020) [Akta 828], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, operasi penguatkuasaan dijalankan atas arahan Ketua UPNP di lokasi berkenaan pada tarikh dan waktu tersebut.

Iklan

Ketika serbuan, anggota operasi menemui satu kawasan simpanan stok pasir serta tapak pengorekan pasir sungai di koordinat yang dinyatakan, yang disyaki berada di atas tanah kerajaan.

Seorang lelaki, Cheng Choon Foo, kemudian hadir dan mengaku sebagai pengusaha pasir di kawasan itu. Beliau turut menunjukkan satu dokumen permit 4B kepada pasukan operasi, namun hasil semakan mendapati kawasan korekan berada di luar kawasan yang diluluskan dalam permit tersebut.

Tertuduh ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong untuk tindakan lanjut. Dua jengkaut dan sebuah lori tipper turut disita di lokasi kejadian dengan kehadiran tertuduh, dan notis perampasan telah dikeluarkan mengikut Seksyen 426A(5) Kanun Tanah Negara (Pindaan 2020).

Semakan lanjut bersama Pejabat Daerah dan Tanah Bentong serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) mengesahkan bahawa tiada sebarang kebenaran rasmi diberikan kepada tertuduh dan lokasi serbuan tidak termasuk dalam mana-mana lot tanah yang telah diukur halus.

Choon Foo yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon hukuman diringankan atas alasan tidak mempunyai pendapatan tetap, bekerja sebagai penjaga kebun dan menanggung empat anak serta seorang ibu yang uzur.

Hakim Noor Zaihan menetapkan denda RM100,000 serta tiga bulan penjara sekiranya denda gagal dijelaskan.

Mahkamah turut memerintahkan agar dua jengkaut dan sebuah lori yang disita dilucuthakkan kepada Kerajaan Negeri Pahang dan diserahkan kepada Pengarah Tanah dan Galian Pahang untuk tujuan pelupusan.