KLANG - Lelaki yang maut dalam insiden tembakan di hadapan sebuah kedai di Taman Meru Utama, Meru, Jumaat lalu dipercayai ditembak di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, hasil bedah siasat dijalankan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
"Siasatan mendapati beberapa das tembakan telah dilepaskan dan punca kematian berpunca daripada kecederaan tembakan di kepala.
"Bagaimanapun motif kejadian masih dalam siasatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Katanya, setakat ini seramai 11 individu telah direkod keterangan bagi membantu siasatan berhubung kejadian dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis sedang meneliti beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian yang meragut nyawa seorang lelaki tempatan itu.
Polis juga turut memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kejadian itu mempunyai kaitan dengan unsur kongsi gelap atau motif lain.
Dalam kejadian Jumaat lalu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 46 tahun ditemui maut dalam keadaan mengiring dengan kesan tembakan, di tempat duduk pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda di Lorong Mahang 1, Taman Meru Utama.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir.