Lelaki maut dihempap tembok konkrit tanda jalan

Iklan
Tembok konkrit tertera nama kampung yang runtuh dan menghempap mangsa. Gambar kecil: Nazri

JASIN – Seorang lelaki yang sedang melakukan kerja-kerja peparitan maut selepas dihempap tembok konkrit tanda jalan yang runtuh secara tiba-tiba di Kampung Baru Gunung Emas, Asahan, di sini pada pagi Rabu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 10.40 pagi itu menyebabkan mangsa, Nazri Yazid, 50, yang baharu menyambut ulang tahun kelahirannya pada Selasa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Iklan
Iklan

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Azizul Ali berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin menerima panggilan kecemasan sebelum pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan tiba 23 minit kemudian.

"Seramai empat anggota dikejarkan ke lokasi bersama jentera, dan setiba di tempat kejadian memang berlaku kemalangan seorang lelaki dihempap runtuhan tembok tanda nama kampung berkenaan.

Iklan

"Ketika kami tiba, mangsa sudah pun dikeluarkan oleh orang awam dari sisa runtuhan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, ketika mangsa sedang bekerja, secara tiba-tiba batu konkrit yang merupakan tanda nama kampung telah runtuh lalu menghempap mangsa.

Iklan

"Pegawai perubatan yang bertugas mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat," katanya lagi.

Tambahnya, tiada sebarang unsur jenayah pada tubuh badan mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.