Air Selangor sasar jadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030

Iklan
Adam Saffian dan barisan kepimpinan Air Selangor pada sesi pembentangan Laporan Kelestarian 2024.

LAPORAN Kelestarian 2024 diterbitkan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) buat tahun kelima membuktikan komitmen berterusan dalam mencapai aspirasi menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030.

Dengan tema"Mencipta Alunan Perubahan" (Creating Ripples of Change), laporan merangkumi pencapaian dan inisiatif kelestarian Air Selangor sepanjang tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2024.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali, antara kejayaan dicatat termasuk mencapai kadar air tidak terhasil (NRW) kepada 27.00 peratus bersamaan dengan penjimatan air sebanyak 298.36 juta liter sehari (JLH).

Adam Saffian

Iklan

“Ini sekali gus membantu mengoptimumkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan sumber Air Selangor.

“Syarikat turut berjaya meningkatkan margin rizab air kepada 18.60 peratus berbanding 15.34 peratus pada tahun 2023 hasil pemantauan rapi terhadap empangan dan loji rawatan air (LRA) bagi memastikan kestabilan bekalan air,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Tambah beliau, Indeks Paip Pecah menurun kepada 3.25 kes paip pecah setiap 100 kilometer paip setahun berbanding 4.18 kes paip pecah setiap 100 kilometer pada 2023.

“Berikutnya, sejak tahun 2016, sepanjang 1,008.56 kilometer paip lama telah diganti bagi meningkatkan kebolehpercayaan bekalan air dan mengurangkan kebocoran.

“Air Selangor juga mengekalkan tahap pematuhan kualiti air minuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu sebanyak 99.93 peratus, pematuhan melebihi 99 peratus secara konsisten untuk empat tahun berturut-turut,” ujarnya.

Dalam pada itu, seiring inisiatif kelestarian, Air Selangor memasang sistem solar fotovoltaik (PV) berkapasiti 9.0 MWac di LRA Sungai Selangor Fasa 2 bagi mengurangkan pelepasan karbon dalam menuju ke arah Neutral Karbon menjelang 2040 dengan tambahan 10.5 Mwac di LRA Sungai Selangor Fasa 3 sedang dijalankan.

Berikutnya, syarikat turut mencatat intensiti karbon sebanyak 0.544 kgCO₂e/m³ dalam proses penghasilan air sebagai sebahagian daripada usaha dekarbonisasi Air Selangor.

Peningkatan turut dicatat dalam Indeks Kepuasan Pelanggan, dengan skor Net Promoter Score (NPS) melonjak kepada +26, berbanding +4 pada 2022.

NPS ialah metrik penyelidikan pasaran global untuk mengukur kesetiaan dan kepuasan pelanggan.

Dalam pada itu, bagi memastikan kebajikan masyarakat, pada tahun 2024, sebanyak RM406,631.84 telah disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan.

"Sejumlah 1,800 kotak makanan, 2,438 penerima dari 19 rumah kebajikan/golongan asnaf dan 240 pelajar B40 telah dibantu menerusi program-program di bawah payung Sesama Mara seperti Box of Hope, Memperkasakan Pembelajaran Dalam Talian dan Festive Cheer.

"Tidak ketinggalan, Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Selangor bertujuan memastikan golongan kurang bernasib baik diberikan akses kepada air terawat yang bersih dan selamat menyaksikan seramai 39,801 pendaftaran baharu telah diterima menjadikan jumlah keseluruhan penerima manfaat SADE sebanyak 324,257," katanya.

Sementara itu, dari sudut kewangan, Air Selangor mencapai jumlah pendapatan sebanyak RM2.98 bilion berbanding RM2.82 billion pada tahun 2023.

“Pada tahun 2024, Air Selangor mencatatkan pendapatan RM2.98 bilion, peningkatan sebanyak 5.44 peratus yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

“Perbelanjaan Capex (perbelanjaan modal) pula adalah sebanyak RM0.69 bilion pada tahun 2024, dengan hampir 69 peratus daripada jumlah ini diperuntukkan untuk usaha pengurangan kadar NRW manakala selebihnya tertumpu kepada peningkatan kecekapan operasi.

“Setelah dilaraskan bagi tahun 2024, terdapat penurunan sebanyak 13.9 peratus dalam perbelanjaan Capex berbanding RM0.80 bilion pada tahun 2023,” katanya.

Untuk rekod, sehingga 31 Disember 2024, Air Selangor telah melaksanakan tujuh (7) penerbitan Sukuk Kelestarian di bawah Program Sukuk Murabahah bernilai RM10 bilion.

"Jumlah keseluruhan mencecah RM4.33 bilion dengan terbitan ketujuh pada Ogos 2024 melibatkan hasil bersih sebanyak RM1.2 bilion.

"Dana yang diperoleh ini diperuntukkan bagi melaksanakan projek berkaitan bekalan air, pengurusan air lestari dan inisiatif tenaga boleh diperbaharui sejajar dengan strategi kelestarian Air Selangor.

Jelas Adam Saffian, laporan membuktikan komitmen berterusan Air Selangor dalam memastikan kecekapan dan keberkesanan bagi setiap usaha yang dijalankan bukan sahaja untuk menyatupadukan inisiatif kelestarian operasi bahkan juga tadbir urus yang kukuh, amalan perniagaan yang beretika dan pembiayaan secara mampan.

“Air Selangor akan terus melabur dalam pengurusan serta pentadbiran bekalan air dalam pengurusan serta pentadbiran bekalan air dalam jangka masa panjang untuk 9.62 juta penggunanya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Syarikat juga akan menggerakkan segala usaha untuk merealisasikan aspirasi menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030,” katanya.