BENGALURU, INDIA – Harga emas dunia mencatatkan penurunan ketara dalam tempoh dua minggu susulan pengumuman gencatan senjata antara Iran dan Israel yang menjejaskan permintaan terhadap logam itu sebagai aset selamat.
Menurut Reuters, emas spot merosot sebanyak 1.9 peratus kepada dolar Amerika Syarikat (AS) AS$3,303.93 (RM15,527) seauns selepas menyentuh paras terendah sejak 11 Jun awal sesi tersebut.
Niaga hadapan emas AS turut susut 2.2 peratus kepada AS$3,318.90 (RM15,598) seauns.
Naib Presiden dan Pakar Strategi Logam Kanan di Zanier Metals, Peter Grant berkata, ketegangan yang berkurangan di Asia Barat memainkan peranan besar dalam menekan harga emas.
Beliau menjelaskan bahawa minat terhadap emas sebagai aset selamat semakin surut apabila sentimen pasaran beralih kepada aset berisiko.
“Kita melihat sokongan yang agak kukuh sekitar AS$3,300 (RM15,510) dan mungkin lebih kuat lagi pada paras AS$3,250 (RM15,275),” katanya.
Sementara itu, saham global melonjak manakala dolar AS susut susulan berita mengenai gencatan senjata antara Israel dan Iran, manakala pasaran tidak terlalu mengambil kira kenyataan Presiden AS, Donald Trump, yang mengatakan kedua-dua pihak telah melanggar perjanjian tersebut.
Dalam kenyataan berasingan, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz berkata, pihaknya melancarkan serangan balas ke atas sasaran di Tehran sebagai tindak balas terhadap dakwaan pelancaran peluru berpandu oleh Iran yang disifatkan sebagai pelanggaran serius terhadap perjanjian damai.
"Terdapat persoalan sama ada gencatan senjata ini akan berkekalan... sehingga ia benar-benar diselesaikan, saya rasa ruang kejatuhan harga emas agak terhad," tambahnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell berkata, bank pusat masih memerlukan masa untuk menilai kesan tarif ke atas inflasi sebelum membuat keputusan mengenai pemotongan kadar faedah.
Pasaran kini meramalkan pemotongan kadar faedah sebanyak 50 mata asas menjelang hujung tahun, bermula pada Oktober dengan kadar penurunan awal sebanyak 25 mata asas.
Harga emas kebiasaannya mengukuh dalam suasana kadar faedah rendah kerana ia adalah aset tanpa hasil.
Dalam pasaran logam lain, perak spot menyusut dua peratus kepada AS$35.41 (RM166) seauns, platinum pula turun sebanyak 0.7 peratus kepada AS$1,286.27 (RM5,448) seauns, manakala paladium mencatatkan penurunan 1.1 peratus kepada AS$1,064.80 (RM4,509) seauns.