Mengantarabangsakan pendidikan

Iklan

KETIKA kaum Melayu membuat rungutan terhadap jawatankuasa Kementerian Pendidikan yang ditubuhkan oleh Dr Maszlee bagi menilai pensijilan UEC atau Unified Examination Certificate dan media membuai-buaikan isu kasut hitam, tiada peperiksaan serta modul renang pada pelajar, Menteri Pendidikan yang baharu itu telah berusaha menarik minat 12 firma-firma besar dari Amerika Syarikat untuk membuka peluang internship atau praktikal serta sokongan biasiswa bagi pelajar-pelajar Malaysia.

Diberitakan bahawa syarikat-syarikat gergasi seperti Cisco, Johnson and Johnson, Oracle, Visa, IBM, Intel dan lain-lain bersetuju memberi peluang emas bagi anak-anak Melayu, Cina, India, Kadazan, Orang Asli untuk menimba pengalaman antarabangsa dalam kerjaya mereka.

Iklan
Iklan

Bagi saya, pencapaian Dr Maszlee ini memberi suatu petunjuk bahawa kurikulum sekolah dan universiti kita perlu diubah untuk disesuaikan kepada globalisasi dan keadaan pasaran kerja yang lebih luas dari hanya di Malaysia sahaja. Pada masa kini ahli politik, pimpinan NGO Melayu dan Cina masing-masing bertelingkah sesama sendiri akan kehebatan kurikulum sekolah awam dan vernakular masing-masing.

Dunia sudah menjadi kecil tetapi minda rakyat kita masih tersempit dengan agenda kedekut untuk berfikiran luas dan bernas. Seperti pepatah Melayu, katak di bawah tempurung, kita mempertahankan kurikulum sekolah dan universiti awam bagaikan wahyu daripada Tuhan yang akan menyelamatkan kita selama-lamanya.

Iklan

Perang antara Melayu dan Cina tentang pengiktirafan UEC menjadi buah mulut masin dan masam dalam konteks visi pengantarabangsaan anak-anak kita oleh Dr Maszlee. Bagi saya biarlah ibu bapa dan kepimpinan politik serta NGO berbalah namun nasib anak-anak kita bukan di tangan pemikir-pemikir sempit tetapi di tangan pimpinan pendidikan yang lebih terbuka dan jauh pandangannya.

Ramai yang memperkatakan bahawa Industrialisasi 4.0 akan menghilangkan banyak pekerjaan semasa tetapi hakikatnya kita masih mempertahankan kurikulum yang sedikit masa lagi jadi lapuk. Kita berbangga dengan kurikulum yang mendefinisikan anak-anak kita dengan ilmu warisan sejarah, geografi, sains dan teknologi tempatan tetapi batasan geografi, sejarah, sains dan teknologi kini semakin meluas menjangkau negara asing yang Islam dan bukan Islam, yang tentunya sudah bukan Melayu lagi. Tetapi perbatasan itu masih boleh merangkumi dunia Cina yang besar atau India dan sebagainya.

Iklan

Yang jelas, dunia Melayu dah hampir lupus tinggal sekangkang kera. Maka itu, saya bertanyakan kepada kepimpinan Melayu kenapa gah sangat mempertahankan kurikulum sekolah awam dan universiti yang sudah pun luput di kaca mata dunia?

Orang Melayu terutamanya perlu membuka mata dengan lebih besar dan melihat jauh sikit dari batang hidung mereka demi kepentingan anak-anak kita. Jika orang Melayu masih menjaguhkan diri mereka dengan fahaman bahasa, agama dan ilmu moden yang sempit difinisinya maka percayalah Melayu memang akan hilang di dunia.

Pengantarabangsaaan pendidikan akan memastikan anak-anak Melayu bakal bercampur dengan pasangan antarabangsa dan akan melahirkan suatu evolusi manusia yang baru dan benih campuran ini akan memastikan segala penyakit biological hilang serta pemikiran melangkau Melayu Hang Tuah atau Hang Jebat. Saingan sihat akan menguatkan lagi bangsa ini.

Tetapi hakikatnya orang Melayu masih takut bayang-bayang sendiri. Masih tidak yakin bersaing dengan sesiapa tetapi dengan ego dan bayang-bayang sendiri. Masih menyorok ditepi kain politik kekerasan dan kemuktamadan Umno, PPBM dan Pas. Yang menyedihkan golongan akademik Melayu pun tak yakin anak-anak mereka golongan atasan untuk bersaing dengan anak-anak Cina dan Melayu dari sijil UEC.

Buat apa takut? Kurikulum hanya satu penentu kehebatan sesuatu bangsa atau kaum. Yang penting adalah kepercayaan kepada diri sendiri dan kecekalan jiwa untuk berjaya dan beristiqamah membuat kebaikan dan pembangunan kendiri. Kurikulum bukan semuanya penentu masa depan anak-anak kita. Mungkin 30% saja. Jadi apakah kita takut dengan kurikulum antarabangsa, UEC atau mana-mana kurikulum lain yang tidak serupa dengan kita.

Kalau telefon pintar yang baru diperkenalkan, saya kira orang Melayu paling dulu berkejar ke kedai menempahnya. Tak tahukan ia dibuat di negara asing dan bukan produk tempatan? Kenapa tidak pula sikap kita pada kurikulum? Kurikulum sekolah awam atau madrasah atau tahfiz boleh kita tukar untuk mempastikan kerelevanan anak-anak kita. Kenapa takut pada perubahan dan kurikulum lain?

Maszlee mencorakkan jalan lurus kepada kejayaan bangsa Malaysia ke persada antarabangsa. Yang kita di bawah tempurung ni...bila lagi?

* Penulis ialah Profesor Senibina di sebuah universiti swasta tempatan