Kanak-kanak nyaris lemas dihanyut arus di Batu Ferringhi

Iklan
Salah seorang anggota dari Pusat Kawalan Operasi Unit Tanjung Bungah melakukan CPR kepada mangsa.

GEORGE TOWN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun nyaris lemas selepas dihanyutkan arus laut di kawasan pantai berdekatan Menara 3 Bayu Senja, Batu Ferringhi di sini, pada pagi Selasa.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.20 pagi ketika mangsa, yang bercuti bersama keluarganya dari Klang, Selangor sedang bermain di tepi pantai sebelum dihanyutkan ke tengah laut.

Iklan
Iklan

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang berkata, keadaan laut ketika kejadian bergelora dan air pasang besar, malah bendera merah telah dikibarkan sebagai tanda amaran bahaya mandi di laut.

"Seorang anggota penyelamat pantai di Menara 3, Bayu Senja yang ternampak kejadian tersebut bertindak pantas menyelamatkan mangsa dan membawa kanak-kanak itu ke darat dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Iklan

"Anggota berkenaan segera memberikan bantuan kecemasan dan melakukan teknik bantuan pernafasan (CPR) sebelum menghubungi Pusat Kawalan Operasi Unit Tanjung Bungah untuk bantuan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurutnya, mangsa kembali sedar selepas diberi rawatan awal dan kemudian dikejarkan ke hospital dengan ambulans, selain diberi bantuan oksigen sepanjang perjalanan.

Iklan

"Orang ramai dinasihati agar sentiasa berwaspada dan mematuhi amaran keselamatan terutama ketika keadaan laut bergelora dan bendera merah dikibarkan, demi mengelak kejadian seumpama itu berulang," katanya.