98 calon STPM di Kedah peroleh PNGK 4.00

Iklan
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kedah, Fadil Long Mohamad (tiga dari kiri) selepas sidang akhbar pada Selasa.

ALOR SETAR – Seramai 98 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 di Kedah berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, meningkat sebanyak 24 calon berbanding 74 calon pada tahun sebelumnya.

Pencapaian itu sekali gus merekodkan peningkatan sebanyak 0.91 peratus, dengan jumlah calon cemerlang mewakili 3.51 peratus daripada keseluruhan 2,799 calon yang hadir menduduki peperiksaan tersebut di negeri ini.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kedah, Fadil Long Mohamad berkata, kejayaan ini menjadikan PNGK negeri Kedah sebanyak 2.89, yang bukan sahaja meningkat berbanding 2.88 pada tahun 2023, malah merupakan PNGK negeri tertinggi sejak peperiksaan STPM diperkenalkan.

“Kedah juga berjaya mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan yang mencatat PNGK 2.85. Malah, sebanyak 30 buah pusat peperiksaan di negeri ini mencatat Gred Purata melebihi purata nasional,” katanya ketika ditemui di Jabatan Pendidikan Negeri Kedah pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, secara keseluruhan, pencapaian calon STPM negeri ini menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam semua kategori:

“Seramai 357 calon (12.77 peratus) memperoleh PNGK 3.75 dan ke atas, manakala 1,417 calon (50.68 peratus) memperoleh PNGK 3.00 dan ke atas.

Iklan

“Sementara itu, 1,799 calon (64.34 peratus) memperoleh PNGK 2.75 dan ke atas, manakala 2,617 calon (93.60 peratus) memperoleh PNGK 2.00 dan ke atas.

“Walaupun jumlah calon yang mendaftar untuk STPM 2024 sedikit menurun kepada 2,966 orang berbanding 2,973 pada tahun 2023, namun peratus kehadiran dan peningkatan prestasi membuktikan keupayaan pelajar Kedah terus berkembang,” ujarnya.

Dalam pada itu, dua buah sekolah dari negeri ini turut mencuri tumpuan apabila dipilih menerima Anugerah Sekolah Terbaik STPM 2024 daripada Majlis Peperiksaan Malaysia, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Serdang dan SMK Kubor Panjang.