Antara arak dan rokok

Iklan

TAHNIAH diucapkan kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang melaksanakan larangan merokok di premis awam.

Alangkah baiknya larangan merokok turut diperluaskan ke premis hiburan seperti karaoke, kelab malam, disko dan sebagainya. Banyak kejadian kebakaran di negara-negara luar berlaku di premis hiburan akibat daripada puntung rokok.

Iklan
Iklan

Larangan merokok juga perlu dilaksanakan di bangunan-bangunan yang tertutup seperti kilang dan lain-lain. Matlamat larangan merokok bukan kerana asap sahaja, tetapi akibat daripada puntung rokok jika tidak dipadamkan dengan betul boleh menyebabkan mala petaka kebakaran.

Alangkah baik juga, larangan menjual dan meminum arak yang mengandungi alkohol turut dikuatkuasakan sekali di semua premis awam termasuklah kedai makanan, restoran, hotel dan lain-lain.

Iklan

Antara rokok dan arak, kedua-duanya membahayakan kesihatan awam dan memberi kemudaratan jika tidak dibendung dari awal.

Jangan hanya melihat kepada asap rokok sahaja. Tetapi bagaimana pula dengan puntung rokok dan botol arak yang terdapat di kawasan perumahan, premis awam dan sebagainya. Ketagihan kepada arak jauh lebih tinggi berbanding rokok.

Iklan

Sehinggakan terdapat satu garis panduan saringan dan intervensi pencegahan serta pengurangan kemudaratan alkohol yang dikeluarkan pada tahun 2013 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Apa yang menarik pengambilan minuman beralkohol turut didefinisikan sebagai penyakit tidak berjangkit yang mendatangkan mudarat kepada insiden kemalangan, darah tinggi, kanser dan strok. Jika dibandingkan dengan asap rokok, kedua-duanya arak dan rokok memiliki implikasi sama kepada kesihatan awam.

Dalam definisi garis panduan tersebut menyatakan bahawa terdapat tiga kumpulan minuman beralkohol yang dijual secara bebas di pasaran tanpa adanya sekatan. Antaranya iaitu minuman yang mengandungi peratusan alkohol kurang dari 10% seperti kebanyakan syandi dan bir.

Kedua, minuman yang mengandungi alkohol sederhana iaitu antara 10-20% seperti kebanyakan jenis wain. Ketiga, minuman yang mengandungi alkohol tinggi melebihi 35% seperti brandi, wiski, vodka, samsu dan lain-lain.

Di samping itu terdapat juga minuman beralkohol tradisional yang dibuat secara persendirian melalui tapaian beras dan lain-lain yang menghasilkan todi, samsu, tuak beras, bahar dan sebagainya.

Ramai tidak tahu bahawa minuman beralkohol yang mengandungi etanol adalah sejenis dadah dari kumpulan dadah depressant yang boleh melambatkan aktiviti saraf dan fizikal anggota tubuh badan. Situasi ini menyebabkan seseorang bertindak di luar batas akal dan kewarasan apabila meminum melebihi 3% alkohol.

Akibatnya boleh menyebabkan berbagai masalah kepada masyarakat. Contohnya 30% kemalangan di negara ini adalah berpunca daripada minuman beralkohol seperti cuai semasa memandu dan melawan arus.

Masalah seterusnya adalah mendatangkan kecederaan kepada anggota keluarga semasa seseorang itu sedang mabuk. Malahan dalam satu kajian, permasalahan 'binge drinking' dalam kalangan remaja sekolah semakin meningkat dan ada di antara remaja tersebut telah menjadi penagih tegar minuman beralkohol.

'Binge drinking' diertikan sebagai pengambilan minuman beralkohol melebihi 5 gelas atau lebih dalam tempoh 2 jam bagi remaja lelaki dan 4 gelas atau lebih dalam tempoh 2 jam bagi remaja perempuan. Hasil kajian daripada satu NGO menunjukkan masalah ketagihan 'binge drinking' dalam kalangan remaja yang berusia antara 10-18 tahun adalah 5% daripada jumlah populasi remaja di negara ini.

Ketagihan binge drinking semakin meningkat terutama di kawasan bandar pantai barat, Sabah dan Sarawak. Ini disebabkan terdapat persepsi dan pandangan mengatakan minuman beralkohol dianggap sebagai minuman berprestij dan tidak membahayakan seperti rokok dan dadah.

Kebanyakan minuman beralkohol yang dijual secara berleluasa sama ada di premis awam mempunyai tahap kandungan alkohol tinggi.

Di Malaysia, kandungan alkohol yang melebihi 10g dalam satu gelas minuman dianggap boleh memabukkan dan mendatangkan mudarat jika melebihi 35g seperti kemalangan, keganasan dan sebagainya.

Dalam satu kajian lagi, minuman tin bir tertentu yang mengandungi 3.6% alkohol untuk 440ml manakala bagi tin bir tertentu lain yang mengandungi 5% untuk 320ml yang dijual di kedai serba aneka, pasar raya dan tempat awam di negara ini.

Pengambilan melebihi 3 tin bir tersebut boleh dikategorikan sebagai memabukkan dan tidak dibenarkan memandu kenderaan.

Tetapi di negara ini, perlaksanaan larangan menjual tin bir tertentu yang mengandungi peratusan alkohol yang tinggi masih tidak dikawal dengan baik. Akibatnya arak tidak dilihat sebagai bahaya jika dibandingkan dengan rokok.

* Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan