Budak maut, sepupu cedera dirempuh kereta ketika lintas jalan

Iklan
Kanak-kanak maut di lokasi kejadian selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran Teluk Likas, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Seorang kanak-kanak perempuan maut manakala sepupunya cedera selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika melintas jalan di Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran Teluk Likas, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 pagi itu, mangsa berusia 12 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala sepupunya yang juga seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan sedang dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS).

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Axia dipandu lelaki berusia 55 tahun dan dua pejalan kaki.

“Kenderaan terbabit dari arah Sepanggar menuju ke Likas melalui lorong kanan sebelum melanggar dua kanak-kanak perempuan yang dipercayai melintas secara tiba-tiba dari arah kiri ke kanan jalan.

Iklan

“Akibat perlanggaran itu, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan dan mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat, manakala seorang lagi mangsa kini dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Zon Kecemasan HWKKS,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Keadaan kenderaan selepas terbabit dalam kemalangan merempuh dua kanak-kanak yang melintas jalan di Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran Teluk Likas, Kota Kinabalu.

Iklan

Menurut beliau, pemandu kenderaan terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil siasatan awal tidak menunjukkan sebarang tanda pengaruh alkohol atau dadah. Namun, sampel darah telah diambil untuk analisis toksikologi di Jabatan Kimia.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Kasim turut menyeru orang awam yang menyaksikan kejadian tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Brymenedren Godon di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Polis turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memastikan keselamatan anak-anak semasa melintas jalan, khususnya di kawasan yang tidak mempunyai kemudahan lintasan selamat,” katanya.

Dalam kejadian berasingan, Kasim memaklumkan penemuan mayat seorang lelaki yang terapung di perairan Tanjung Aru pada petang Isnin.

“Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang apabila pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut sebelum dibawa naik ke darat untuk tindakan lanjut.

“Mayat kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi Balai Polis Tanjung Aru atau IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222.