CRRC Dalian hantar tren ECRL pertama pada Oktober ini

Iklan
Dua set pertama tren EMU dan lokomotif elektrik ECRL dijangka dihantar dari Dalian, China ke Malaysia Oktober ini. Foto Bernama

DALIAN - Dua set pertama tren Elektrik Pelbagai Gerabak (EMU) bersama dengan dua lokomotif elektrik untuk pengangkutan kargo bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka dihantar dari sini ke Malaysia pada Oktober tahun ini.

Kumpulan pertama tren ECRL itu akan dihantar oleh pembuat, CRRC Dalian Locomotive & Rolling Stock Co., Ltd (CRRC Dalian), sebuah anak syarikat milik penuh CRRC Corp, dan penghantaran itu dijangka mengambil masa kira-kira satu bulan untuk tiba di Malaysia.

Iklan
Iklan

Naib Presiden CRRC Dalian, Zhang Jian berkata, pihaknya akan menyediakan perkhidmatan sepanjang kitaran hayat bagi kumpulan tren ECRL itu merangkumi keseluruhan proses - meliputi penyelidikan dan pembangunan produk, pengeluaran dan operasi, serta penyelenggaraan dan servis akhir.

"Bagi projek ECRL, kami boleh terus bekerjasama sepanjang kitaran hayat pada masa hadapan untuk memastikan operasi tren di landasan kereta api Malaysia berjalan lancar,” katanya kepada delegasi media Malaysia di ibu pejabat CRRC Dalian, di sini.

Iklan

Dalian ialah sebuah bandar pinggir laut di timur laut Wilayah Liaoning, China, terletak kira-kira 800 kilometer (km) di tenggara Beijing, dan terkenal dengan pelabuhan utama dan industri pembuatan yang besar.

Pada Ogos 2022, CRRC Dalian menandatangani kontrak pembekalan dengan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL), kontraktor utama bagi projek ECRL, untuk membekalkan 11 set tren EMU dan 12 lokomotif elektrik.

Iklan

Zhang berkata, tren-tren itu akan menjalani pengoperasian lengkap di kilang di Dalian sebelum dihantar.

"Sebaik tiba, tren-tren ini akan menjalani ujian di tapak. EMU pertama perlu menjalani ujian sejauh 8,000 km, manakala kumpulan seterusnya memerlukan ujian sejauh 5,000 km," katanya.

EMU itu direka untuk membawa penumpang pada kelajuan sehingga 160 km sejam (km/j), manakala lokomotif elektrik yang beroperasi pada 120 km/j akan digunakan untuk pengangkutan kargo.

Pakar teknikal dari CRRC Dalian juga akan dihantar ke Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan di tapak dan latihan.

"Terdapat dua kumpulan; satu kumpulan bertanggungjawab ke atas pembaikan dan penyelenggaraan EMU serta lokomotif, manakala satu lagi kumpulan akan memberikan latihan teknikal kepada kakitangan tempatan, membantu mereka memperoleh kemahiran penyelenggaraan,” katanya.

Zhang berkata, pihaknya juga akan menyediakan perkhidmatan jaminan selama dua tahun untuk EMU dan lokomotif elektrik itu.

Ketibaan tren pertama menjelang akhir 2025 itu akan memastikan kesiapsiagaan bagi pelancaran ECRL yang dijadualkan pada 2027.

Sehingga Oktober 2020, CRRC Dalian telah menghasilkan 12,800 lokomotif merangkumi lebih 70 model diesel dan 13 model elektrik, mewakili separuh daripada jumlah keseluruhan lokomotif di China.

Sejak eksport pertama lokomotif laluan utama ke Myanmar pada 1993, CRRC Dalian telah membekalkan kereta api ke 27 negara termasuk Malaysia, Afrika Selatan, New Zealand, Argentina, Uzbekistan, India, Nigeria dan Hong Kong. - Bernama