SHAH ALAM - Gangguan perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melibatkan KTM Komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) yang berlaku di antara Kampar dan Slim River berjaya diselesaikan sepenuhnya pada jam 5.00 pagi, Sabtu.
KTMB dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan tren kini kembali beroperasi seperti biasa.
Menurutnya, pasukan elektrifikasi mereka telah digerakkan serta-merta ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan.
"Segala usaha baik pulih telah berjaya diselesaikan sepenuhnya pada jam 5.00 pagi, hari ini (Sabtu).
"KTMB amat menghargai kesabaran dan kerjasama semua penumpang sepanjang tempoh gangguan ini.
"Kami juga memohon maaf atas gangguan yang berlaku dan akan terus komited serta menambah baik mutu perkhidmatan demi keselesaan serta keselamatan para pengguna," katanya pada Sabtu.
Pada Jumaat, operasi perkhidmatan ETS dan KTM Komuter mengalami kelewatan lebih 60 minit susulan gangguan bekalan kuasa alat talian atas yang berlaku di antara Kampar dan Slim River pada jam 5.44 petang.
Tambah kenyataan itu, gangguan tersebut telah menjejaskan kelancaran operasi tren penumpang di laluan berkenaan, sekali gus menyebabkan beberapa perkhidmatan tren penumpang tergendala dan mengalami kelewatan daripada jadual asal.
Jelasnya, pergerakan tren di laluan terlibat juga hanya dapat dijalankan melalui satu landasan secara bergilir-gilir bagi menjamin keselamatan dan kelancaran operasi.
"Situasi ini telah menyebabkan lapan perkhidmatan tren ETS dan dua perkhidmatan KTM Komuter mengalami kelewatan melebihi 60 minit.
"Sebagai langkah awal, pemakluman segera telah dibuat kepada penumpang yang terkesan, khususnya pengguna ETS, melalui sistem pesanan khidmat ringkas (SMS).
"Dalam masa yang sama, maklumat terkini mengenai situasi ini turut dikongsi secara berterusan melalui saluran rasmi media sosial KTMB,"ujarnya.
KTMB juga memberitahu, kru bertugas turut mengedarkan makanan dan minuman kepada para penumpang yang terjejas melebihi dua jam di stesen dan di dalam tren.