Iran gagalkan serangan siber dari Israel

Iklan
Komando Keselamatan Siber Iran mengumumkan bahawa beberapa cubaan oleh Israel untuk mengganggu sistem infrastruktur penting negara, termasuk rangkaian perbankan, telah berjaya digagalkan

ISTANBUL – Komando Keselamatan Siber Iran mengumumkan bahawa beberapa cubaan oleh Israel untuk mengganggu sistem infrastruktur penting negara, termasuk rangkaian perbankan, telah berjaya digagalkan sejak tercetusnya konflik antara kedua-dua pihak.

Laporan Anadolu Ajansi (AA) yang memetik Agensi Berita Mehr pada Jumaat menyatakan bahawa serangan siber berskala besar itu merupakan sebahagian daripada ketegangan yang meningkat sejak 13 Jun, apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa lokasi di Iran, termasuk kemudahan tentera dan nuklear.

Iklan
Iklan

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Komando Keselamatan Siber Iran memaklumkan antara kejayaan utama yang dicapai ialah menangkis serangan jenis"distributed denial-of-service" (DDoS), mengehadkan akses kumpulan penggodam kepada sistem sabotaj dan kecurian data, serta mengakibatkan kerosakan ke atas sistem kawalan dan perintah (C4I) Israel yang berkaitan dengan operasi ketenteraan.

Iran juga berjaya menyekat cubaan untuk menyebarkan perisian hasad melalui telefon mudah alih, dipercayai bertujuan mensabotaj sistem komunikasi dalaman.

Iklan

Komando tersebut turut mengeluarkan amaran tegas bahawa mana-mana individu yang bersekongkol dengan Israel akan dikenal pasti dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Sementara itu, media Iran melaporkan bahawa sebanyak 639 orang terkorban dan lebih 1,300 lagi cedera dalam serangan udara Israel ke atas negara itu.

Iklan

Tindak balas ketenteraan dari pihak Tehran dijangka berterusan dalam menghadapi situasi keselamatan siber dan fizikal yang semakin tegang. - Bernama