PROGRAM Road To Gold (RTG) berasa gembira kerana mempunyai empat pemain badminton profesional di bawah projek itu, biarpun rundingan mengambil masa yang agak lama.
Penyelarasnya, Datuk Stuart Ramalingam, berkata beregu lelaki nombor satu dunia, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani, dan beregu campuran, Goh Soon Huat–Shevon Lai Jemie, berpuas hati dengan khidmat yang RTG tawarkan untuk meningkatkan prestasi mereka.
“Saya rasa ini petanda positif bahawa program berkenaan diterima dengan baik oleh semua pihak. Fokus program ini adalah untuk memberi sokongan prestasi dan saya percaya itulah yang akan diterima oleh atlet, termasuk dalam kitaran RTG sebelum ini.
“Ramai jurulatih dan atlet yang saya temui tidak mempunyai rungutan mengenai sistem sokongan RTG. Ia terpulang kepada atlet pada akhirnya, kami hanya menyediakan yang terbaik,” katanya ketika ditemui pada program ‘Spotlight – Gangguan Seksual dalam Sukan’.
Stuart berkata, dengan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) yang masih lama lagi, atlet boleh menggunakan masa sepenuhnya dengan khidmat RTG.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, dan Duta Belgium ke Malaysia, Peter Van Acker.
Hannah sebelum ini mengumumkan bahawa Sze Fei–Nur Izzuddin dan Soon Huat–Shevon telah mengikat komitmen mereka kepada RTG untuk kitaran 2025.
Minggu lalu, lapan pemain badminton termasuk beregu lelaki nombor dua dunia, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, dan rakan sepasukan, Man Wei Chong–Tee Kai Wun, beregu wanita negara, Pearly Tan–M. Thinaah, serta beregu campuran, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, diumumkan menyertai RTG.
Atlet lain yang turut menyertai program itu antaranya ialah jaguh angkat berat, Mohd Aniq Kasdan; pelumba trek, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom; serta pemain skuasy, S. Sivasangari.
Trio memanah wanita recurve negara — Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil — serta pemain skuasy, Ng Eain Yow, turut menyertai program Fast Track RTG.