Warga emas curi kereta, bawa lari kanak-kanak OKU

Iklan
Seorang warga emas ditahan selepas disyaki melarikan sebuah kenderaan bersama seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia 12 tahun dalam kejadian di sebuah bengkel kenderaan.

KEPALA BATAS – Seorang warga emas ditahan selepas disyaki melarikan sebuah kenderaan bersama seorang kanak-kanak perempuan orang kurang upaya (OKU) berusia 12 tahun dalam kejadian di sebuah bengkel kenderaan di Penaga, di sini, pada jam 5.30 petang, Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah SPU bersama anggota dari Balai Polis Butterworth.

Iklan
Iklan

Kejadian berlaku di sebuah bengkel kenderaan di Penaga, di sini, pada jam 5.30 petang Jumaat yang mana, suspek dikatakan mengalami masalah mental.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tujuh kes jenayah dan 11 kes berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Mengulas lanjut, Anuar berkata kejadian berlaku ketika ibu kepada kanak-kanak tersebut keluar dari kenderaan untuk menghantar minyak hitam kepada suaminya.

"Wanita tersebut telah meninggalkan anak perempuannya yang berada di dalam kenderaan dalam keadaan enjin tidak dimatikan.

Iklan

“Apabila wanita itu kembali, dia mendapati kenderaan tersebut telah tiada. Dia bersama suaminya dan rakan-rakan berusaha mencari dan mengesan kenderaan berkenaan namun gagal," katanya.

Tambah beliau, wanita berkenaan kemudian menggunakan aplikasi Life360 untuk mengesan lokasi telefon bimbitnya yang berada bersama mangsa, dan mendapati kenderaan tersebut berada di kawasan Bagan Lalang, Butterworth.

“Suspek kemudiannya berjaya ditahan selepas wanita itu membuat laporan polis.

"Mangsa berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun dia dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk pemeriksaan lanjut," ujarnya.

Anuar berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379A dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan, dan siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Haslinda Rahmat di talian 04-5762222 sambungan 2275 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.