Isteri rentung, suami melecur kedai petrol terbakar

Iklan
Kebakaran melibatkan seorang mangsa rentung dalam kejadian di Kampung Nangoh, Beluran.

BELURAN – Seorang wanita rentung manakala suaminya melecur selepas kedai menjual petrol milik mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Nangoh, di sini, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa wanita berusia 58 tahun ditemukan rentung, manakala suaminya yang berusia 60 tahun mengalami kecederaan melecur pada bahagian badan, tangan dan muka.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden Hasan Majid berkata, kebakaran tersebut melibatkan dua mangsa di sebuah bangunan kedai yang menjual petrol di Kampung Nangoh.

“Siasatan awal mendapati kebakaran bermula daripada premis yang menyimpan bahan mudah terbakar, menyebabkan api merebak dengan pantas.

Iklan

“Dalam kejadian tersebut, seorang mangsa wanita ditemukan rentung di lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi mangsa lelaki yang juga seorang peniaga turut berada di premis tersebut mengalami kecederaan melecur sebanyak 46 peratus dan telah dihantar ke Hospital Beluran untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sandakan untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Iklan

“Siasatan masih dijalankan bagi menentukan punca sebenar kebakaran dan kertas siasatan mati mengejut telah dibuka,” katanya.

Hasan turut menasihatkan semua pengusaha premis perniagaan agar sentiasa memastikan tahap keselamatan dipatuhi, khususnya yang melibatkan bahan mudah terbakar.

“Ini bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.