SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan kekecewaan dan dukacita terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan fatwa bertarikh 31 Julai 2014 tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia) atas alasan ia merupakan sebuah pertubuhan atau institusi, sebaliknya hanya terpakai kepada individu.
Berikutan itu, baginda senada dengan kenyataan media Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada Khamis berhubung keputusan tersebut.
Titah baginda, penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam.
“Sehubungan dengan keputusan Mahkamah Persekutuan ini, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam di negeri Selangor menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan perkataan ‘Sisters in Islam’ dalam apa-apa bentuk penerbitan di mana-mana platform yang dikaitkan dengan syarikat mereka.
“Gesaan ini penting supaya perkataan ‘Islam’ tidak digunakan sewenang-wenangnya untuk faedah dan kepentingan syarikat tersebut,” titah baginda dalam satu kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014, iaitu bahawa “mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam” adalah sah.
Bagaimanapun, panel empat hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, memutuskan bahawa fatwa itu tidak terpakai kepada SIS Forum (Malaysia) sebagai sebuah pertubuhan atau syarikat.
Ketika membacakan keputusan itu, Tengku Maimun menyatakan bahawa mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, dan perlu bertaubat serta kembali ke jalan Islam.
Sebelum ini, SIS Forum (Malaysia) memohon untuk membatalkan fatwa 2014 yang dikeluarkan oleh MAIS, yang mengisytiharkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam kerana didakwa menganut fahaman liberalisme dan pluralisme agama.
Fatwa yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014 itu mengisytiharkan SIS Forum, serta mana-mana individu atau kumpulan yang menganut fahaman tersebut, sebagai sesat dan bertentangan dengan ajaran Islam.