Bekas model didakwa muat naik sijil nikah palsu dengan kerabat diraja

Iklan
Persana Avril mengaku tidak bersalah atas tuduhan memuat naik sijil pernikahan palsu membabitkan kerabat Johor.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas model yang dikaitkan dengan kes memuat naik sijil pernikahan palsu di media sosial membabitkan kerabat diraja Johor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis.

Tertuduh, Persana Avril Sollunda, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memulakan komunikasi palsu berkaitan ahli keluarga diraja berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Iklan
Iklan

Wanita berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 25 Februari lalu menggunakan nama akaun ‘king.charles.ratu’ di aplikasi TikTok.

Mengikut kertas pertuduhan, Persana Avril yang tidak diwakili peguam didakwa dengan sengaja membuat dan menerbitkan hantaran gambar sijil pernikahan palsu antara Tengku Mahkota Johor dan ‘Crown Princess Ratu Shana’ dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Iklan

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Tertuduh juga boleh didenda selanjutnya sebanyak RM5,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman.

Mahkamah membenarkan Persana Avril diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan untuk melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 17 Julai untuk tarikh serahan dokumen.

Pada Mac lalu, Persana Avril ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu untuk disoal siasat, namun dibebaskan kemudiannya.

Pada 22 Mei, Mahkamah Sesyen mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas gagal hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan sama.