PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu bergelar Datuk kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah berjumlah kira-kira RM200,000 membabitkan isu pengeluaran lesen cari gali di Sabah.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 30 dan 60-an itu telah ditahan kira-kira jam 9.45 dan 11.50 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah dan Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Iklan
Iklan
“Kedua-dua suspek yang terdiri daripada seorang ahli perniagan dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023 dan 2024.
“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek disyaki saling meminta dan menerima rasuah bernilai kira-kira RM200,000 antara satu sama lain bagi membantu menguruskan permohonan lesen cari gali,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (A) Akta SPRM 2009.
"Suspek merupakan seorang ahli perniagaan telah dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM100,000 (deposit sebanyak RM10,000) dengan dua orang penjamin.
"Seorang lagi suspek iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin," katanya.