SEREMBAN – Lima individu termasuk tiga pengarah dan seorang pengurus syarikat direman kerana disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bagi mendapatkan permit pekerja asing di negeri ini.
Perintah reman terhadap kesemua suspek, termasuk seorang wanita, dikeluarkan oleh Majistret Fairuz Syuhada Amran selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Sivil di sini.
Iklan
Iklan
Dua suspek, termasuk wanita terbabit, direman selama empat hari sehingga 21 Jun ini, manakala tiga lagi suspek lelaki direman selama tujuh hari sehingga 24 Jun.
Menurut sumber, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 50-an ditahan kira-kira jam 5 petang pada Selasa ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan.
“Tiga daripada lima suspek merupakan warga asing, iaitu dua warga Bangladesh dan seorang warga Pakistan yang dipercayai bersubahat melakukan perbuatan tersebut sekitar tahun 2023.
“Siasatan awal mendapati kesemua mereka mengemukakan dokumen permohonan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 kepada Jabatan Imigresen Negeri Sembilan yang disyaki mengandungi butir matan palsu, bagi mendapatkan permit pekerja asing, walhal pekerja terbabit tidak bekerja dengan syarikat berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.