MANILA - Kerajaan Filipina bersedia untuk membawa pulang rakyatnya dari Israel dan Iran susulan ketegangan yang semakin memuncak di Timur Tengah, kata Presiden Ferdinand Marcos Jr pada Rabu, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dalam temu bual media di Quezon City, Marcos berkata satu laluan alternatif telah dikenal pasti bagi memudahkan pemulangan rakyat Filipina yang terjejas, susulan penutupan beberapa lapangan terbang akibat konflik yang berterusan.
"Masalah yang kami hadapi dalam usaha membawa mereka keluar ialah banyak lapangan terbang ditutup kerana perang. Jadi kami terpaksa mencari laluan yang selamat untuk mereka dibawa keluar,” katanya.
Marcos berkata, kumpulan pertama usaha penghantaran pulang sedang dilaksanakan, dengan Setiausaha Jabatan Pekerja Migran (DMW) Hans Cacdac kini dalam perjalanan ke Jordan bagi menyelaras pemindahan rakyat Filipina dari Israel dan Iran.
Beliau menjelaskan bahawa repatriasi itu tidak diwajibkan, namun kerajaan terus memantau keadaan dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.
"Kami, sudah tentu, memantau rakyat kami di Israel dan Iran. Kami telah menghubungi mereka dan bertanya sama ada mereka mahu dibawa pulang. Pada umumnya, kami serahkan kepada individu atau keluarga masing-masing untuk memutuskan sama ada mereka rasa selamat atau mahu dipindahkan,” katanya.
Setakat Rabu, seramai 92 rakyat Filipina di luar negara telah mendaftar untuk repatriasi secara sukarela, menurut data kerajaan.
Marcos turut melahirkan kebimbangan terhadap kesan krisis di Timur Tengah ke atas harga minyak global, yang disifatkannya sebagai"masalah serius.”
Beliau berkata, kerajaan sedang bersiap sedia untuk membantu golongan terjejas, khususnya mereka yang bergantung kepada bahan api untuk menyara kehidupan.
"Kami mengambil pendekatan awal bahawa harga minyak akan meningkat, dan saya tidak nampak bagaimana ia boleh dielakkan. Jika Selat Hormuz disekat akibat eskalasi, penghantaran minyak akan terjejas, dan harga pasti akan naik,” katanya.
Marcos menambah bahawa subsidi bahan api, seperti yang disalurkan semasa pandemik Covid-19, akan diberikan kepada sektor paling terkesan akibat kenaikan harga minyak. - Bernama/PNA