KUALA LUMPUR - Tindakan seorang penghantar makanan yang cuba mengejar lampu isyarat membawa padah apabila motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki warga emas dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Awan Besar menghala ke Taman Yarl, di sini, pada Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4.55 petang.
Beliau berkata, penunggang motosikal berusia 19 tahun itu dipercayai cuba meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat hampir bertukar merah.
“Ketika kejadian, sebuah kereta jenis Mercedes Benz yang dipandu lelaki berusia 80 tahun dari arah Jalan Awan Besar sedang membelok ke kanan menuju ke Taman Yarl ketika lampu isyarat bertukar hijau.
“Secara tiba-tiba, motosikal dari arah bertentangan meluru laju dan melanggar bahagian kiri kereta terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, penunggang motosikal yang bekerja sebagai penghantar makanan itu mengalami kecederaan pada jari kiri dan bibir sebelum menerima rawatan sebagai pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Jelasnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan motosikal terbabit cuba melepasi simpang walaupun lampu isyarat hampir merah, manakala kereta berkenaan membelok secara sah apabila lampu isyarat bertukar hijau.
Mohd Zamzuri berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN166/59) kerana gagal mematuhi isyarat lampu.
“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi lampu isyarat dan tidak tergesa-gesa melintasi simpang bagi mengelakkan risiko kemalangan.
“Tindakan terburu-buru bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Tambah beliau, sebarang maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang jalan raya boleh disalurkan terus kepada pihak polis bagi membantu siasatan.