BESTARI JAYA - McDonald’s Malaysia meneruskan komitmennya untuk melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha pada tahun ini dengan kerjasama Universiti Selangor (Unisel).
Kerjasama McDonald’s Malaysia dan Unisel bermula pada Ramadan lepas menerusi program Kongsi Rezeki Ramadan iaitu menyantuni golongan pelajar yang memerlukan dengan menyumbang Kotak Rezeki dan duit raya serta menaja aktiviti berbuka puasa kepada warga universiti itu.
Pada kali ini, McDonald’s Malaysia dan Unisel kembali berganding bahu dengan menyediakan peluang dan pengalaman kepada hampir 150 pelajar Unisel serta kakitangan McDonald’s Malaysia melaksanakan ibadah korban menerusi Majlid Korban Perdana yang diadakan di sini, baru-baru ini.
Ia sebagai usaha untuk mendekatkan golongan muda dengan nilai dan erti sebenar ibadah itu sempena sambutan Aidiladha.
Usaha itu adalah sebahagian daripada inisiatif McDonald’s Malaysia untuk menyantuni dan memberi impak positif kepada komuniti di sekitar lokasi operasi.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, pada tahun ini, McDonald’s Malaysia berkongsi peluang dengan anak muda iaitu pelajar Unisel dan warga kerjanya untuk menghayati serta mendalami sendiri ibadah korban secara langsung.
“Platform yang disediakan oleh McDonald’s Malaysia adalah ruang untuk memastikan mereka terus diperkasakan dan dipersiapkan untuk menggalas tanggungjawab ini pada masa akan datang,” kata Azmir.
Dalam pada itu, McDonald’s Malaysia turut melaksanakan ibadah korban di beberapa lokasi lain di seluruh negara, termasuk di Unisel dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak 18 ekor lembu.
Penglibatan McDonald’s dalam usaha korban ini kini memasuki tahun kelima sejak mula dilaksanakan pada tahun 2021.
Inisiatif itu diteruskan saban tahun sebagai salah satu cara McDonald’s Malaysia mendekati komuniti daripada pelbagai latar belakang, khususnya umat Islam yang memerlukan, sejajar dengan komitmen syarikat dalam menyantuni komuniti setempat.
“Selain daripada menyantuni anak muda, usaha ini juga menyantuni golongan fakir dan miskin melalui sumbangan daging lembu untuk mereka meraikan Aidiladha.
“Ia turut bertepatan dengan semangat hari yang mulia ini di mana golongan yang berkemampuan menzahirkan keprihatinan kepada golongan yang memerlukan dengan berkongsi rezeki,” tambah Azmir.
McDonald’s Malaysia juga sentiasa berusaha mencari peluang untuk menyantuni komuniti melalui Program Komuniti @ McDonald’s.
Dianggarkan sebanyak 10,000 aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan setiap tahun merangkumi segenap lapisan masyarakat.
Antaranya adalah sumbangan moreh ke masjid dan surau pada bulan Ramadan, meraikan hari jadi anak-anak yatim pada bulan kanak-kanak, meraikan warga emas di rumah kebajikan serta melunaskan pembayaran zakat korporat setiap tahun ke institusi-institusi zakat negeri.