Pengurus tokong didenda RM20,000 terima wang deposit pelaburan haram

Iklan
Seorang pengurus tokong didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana menerima deposit bagi pelaburan haram tanpa lesen sah. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus tokong didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan menerima wang deposit RM70,589.79 bagi tujuan pelaburan haram, tahun lepas.

Hakim Azrul Darus menjatuhkan hukuman itu terhadap Sum Lai Yoong, 54, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes hari ini dan memerintahkan wanita itu dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Iklan
Iklan

Lai Yoong didakwa menerima wang berkenaan daripada seorang wanita berusia 44 tahun yang merupakan pemilik syarikat sabun tangan, tanpa lesen sah yang diberikan di bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Taman Mutiara Barat, Cheras dekat sini antara 12 Januari dan 6 Mac 2024 mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM50 juta atau kedua-duanya.

Iklan

Mengikut fakta kes, tertuduh telah memperkenalkan skim pelaburan forex kepada mangsa dan mendakwa dirinya mewakili sebuah akademi kewangan selain menjanjikan pulangan lapan hingga 16 peratus sebulan.

Mangsa kemudiannya telah mendaftar melalui laman web yang diberikan tertuduh dan membuat bayaran secara berperingkat sebanyak RM583,767.22 ke dalam 14 akaun bank dari 31 Oktober 2023 hingga 29 Mac 2024, namun tiada keuntungan diterima.

Iklan

Hasil siasatan mendapati suspek memberi maklumat pelaburan palsu dan akaun bank miliknya telah menerima RM70,589.79 daripada mangsa, selain akademi kewangan terbabit juga disahkan tidak mempunyai lesen Bank Negara Malaysia untuk mengutip deposit daripada orang awam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, M Saravanan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh, namun peguam Muizzudin Schanni Feizal Maurice Feizal yang mewakili tertuduh memohon denda rendah atas alasan anak guamnya telah insaf dan merupakan pesalah kali pertama. - Bernama