SHAH ALAM – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk melibatkan hujan lebat, ribut petir dan angin kencang di beberapa kawasan di 12 negeri sehingga jam 6 petang ini.
Menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin, MetMalaysia memaklumkan bahawa negeri-negeri yang terlibat termasuk seluruh Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Turut terjejas ialah beberapa daerah di Perak iaitu Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak; manakala di Pahang melibatkan Jerantut, Maran dan Kuantan.
Selain itu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya; Negeri Sembilan (Seremban dan Port Dickson); serta Johor (Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru) turut tersenarai dalam amaran tersebut.
Di Sarawak pula, kawasan yang terlibat ialah Sarikei (Sarikei dan Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Kapit (Belaga), Miri dan Limbang.
Sementara itu, di Sabah, kawasan pedalaman seperti Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Nabawan dan Keningau serta kawasan Pantai Barat melibatkan Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran turut diberi amaran.
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan kejadian ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku dalam tempoh melebihi sejam.
Tambahnya, amaran ribut petir ini bersifat jangka pendek dan sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.