Selebriti akan didakwa kes seksual antara 9 kes menarik minggu ini

Iklan
Laporan Sinar Harian berhubung selebriti terbabit kes amang seksual dituduh pada Selasa

KUALA LUMPUR – Pendakwaan terhadap seorang selebriti yang disiasat kes amang seksual menjadi antara sembilan kes yang menarik perhatian ramai, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan Istana Kehakiman di Putrajaya sepanjang minggu ini.

Bagi kes seksual, penyanyi berkenaan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada Selasa selepas memperoleh arahan daripada Pejabat Pendakwa Raya Selangor pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Sebelum ini, media melaporkan suspek ditahan polis bagi membantu siasatan kes amang seksual ke atas remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor.

Iklan

Sementara itu, perbicaraan saman dikemukakan bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin ditukar kepada pengurusan kes.

Mahkamah Tinggi kemudian menetapkan 30 September ini untuk pengurusan kes seterusnya.

Iklan

Ia selepas Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Anwar, 78, untuk menangguhkan kes terbabit.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memerintahkan semua prosiding termasuk perbicaraan saman di Mahkamah Tinggi ditangguhkan sementara sehingga perbicaraan penuh penangguhan didengar dan diputuskan pada 21 Julai ini di mahkamah sama.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjadualkan perbicaraan itu bermula pada 16 hingga 19 Jun dan 23 hingga 25 bulan sama.

Tidak ketinggalan di Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat akan berlangsung tiga kes pengubahan wang haram (AMLA) sebanyak RM27 juta dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada prosiding itu, Hakim, K Muniandy akan memutuskan sama ada bekas Ahli Parlimen Pekan itu, diberi perintah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) atau meneruskan kes tersebut dengan perbicaraan.

Pada Rabu minggu lalu, Najib yang akan menyambut kelahiran ke-72 minggu depan, gagal dalam permohonannya untuk menggugurkan itu.

Ia selepas pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi yang dikemukakan pada 31 Julai 2023.

Dalam prosiding berkenaan, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul memohon mahkamah menetapkan tarikh lain bagi perbicaraan kes tersebut.

Bagaimanapun ia dibantah oleh peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dengan alasan, kes berkenaan telah berlanjutan sejak 2019.

Katanya, penangguhan sudah menjangkau enam tahun, maka DNAA merupakan jalan terbaik untuk anak guamnya.

Selain itu di Mahkamah Rayuan turut menjadualkan keputusan rayuan SIS Forum (Malaysia) untuk mencabar fatwa dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam, akan diketahui Khamis ini.

Tarikh keputusan itu diberikan kepada pihak-pihak menerusi e-mel oleh Mahkamah Persekutuan pada 20 Mei lalu.

Selain Jawatankuasa Fatwa, turut dinamakan sebagai responden dalam rayuan itu ialah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor.

Pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar untuk meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun sama, yang menolak rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa itu.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan fatwa yang disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukanlah keputusan muktamad dan dengan itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

SIS Forum dan Zainah merayu kepada Mahkamah Rayuan selepas mereka tidak berjaya dalam usaha di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan fatwa berkenaan.

Permohonan semakan kehakiman mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.

Fatwa itu yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan bahawa SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.

Pada Rabu ini, Mahkamah Persekutuan akan memutuskan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Public Bank Bhd kepada lima pihak terbabit pada 18 Jun ini.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan, menolak rayuan akhir Public Bank untuk mengetepikan saman RM560 juta oleh National Feedlot Corporation (NFCorp) dan empat yang lain.

Perkara itu berhubung dakwaan kebocoran maklumat sulit akaun bank mereka, 13 tahun lalu.

Selain itu, Mahkamah Sesyen di sini, menetapkan Isnin untuk sebutan kes cuba mendedahkan dokumen sulit berkaitan prestasi operasi dan kewangan syarikat minyak nasional itu kepada Syarikat Petroleum Sarawak (Petros), Jun tahun lepas.

Ia membabitkan seorang bekas pengurus di Petronas, Mohd Khairul Akmal Mohd Jasni, 40, yang didakwa atas satu pertuduhan cuba melakukan pendedahan maklumat iaitu satu dokumen bertajuk"Q1 2024 Upstream Business Performance Operational & Financial” kepada Petros.

Ia berhubung dokumen telah diperoleh ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas, di sebuah unit kondominium di Jalan Pinang, di sini, antara 3.19 petang dan 3.21 petang, 8 Jun 2024.

Setelah ditangguhkan beberapa kali, kes seorang anak yang mengaku membunuh ibu bapanya di Kampung Sungai Penchala, akan diputuskan Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu.

Hakim, Muniandy menangguhkan keputusan ke minggu ini, selepas pihak pendakwaan memberitahu, terdapat beberapa barang kes membabitkan tertuduh, Afendi Muhammad Agus @ Muhamed Ali, 44, belum dikemukakan kepada mahkamah.

Mengikut dua pertuduhan itu, dia didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian ke atas pesara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Muhammad Agus @ Muhamed Ali Omar, 82, dan suri rumah, Darlisma Njatu Saleh, 72.

Kesalahan didakwa dilakukan di rumah mangsa, di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir, di sini, pada jam 7.10 dan 7.20 malam, 9 Disember 2023.

Pada Rabu ini juga, Mahkamah Persekutuan dijadualkan untuk mendengar rayuan sabitan, hukuman penjara lapan tahun dab dua sebatan terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong berkait kes merogol pembantu rumahnya.

Pada 27 Julai 2022, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak, Datuk Abdul Wahab Mohamed mendapati Paul bersalah atas tuduhan merogol pembantu rumah warga Indonesia berusia 23 tahun di bilik rumahnya di daerah tersebut, antara jam 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Susulan itu, dia yang merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri Perak dihukum penjara 13 tahun serta dua sebatan.

Bagaimanapun, hukuman penjara itu dikurangkan kepada lapan tahun, oleh Mahkamah Rayuan di sini pada 1 Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, panel tiga hakim mengekalkan hukuman dua sebatan ke atas Paul, 54.

Dalam pada itu, Mahkamah Rayuan di sini menetapkan Selasa untuk pengurusan kes rayuan Sports Toto Malaysia dan beberapa pihak lain berhubung keputusan yang menolak permohonan mereka menghidupkan semula perniagaan perjudian di Perlis.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kangar menolak permohonan mereka dengan alasan permohonan itu gagal mengenal pasti sebarang ‘keputusan rasmi’ yang boleh disemak secara kehakiman.

Hakim, Arik Sanusi Yeop Johari berkata, pemohon tidak menunjukkan sebarang keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri yang diterajui Perikatan Nasional yang menjejaskan mata pencarian mereka.

Di Kangar, pemohon-pemohon itu ialah Yong Foo Mei, 54, Ene (Penang) Sdn Bhd, Leong Jenn Kiang, 62; Chin Soo Shian, 54; CH Santha, 37; Yip Kok Chyuan, 54 dan Stm Lottery Sdn BHD (dahulu dikenali sebagai Sports Toto Malaysia Sdn Bhd selaku pemohon-pemohon.

Mereka memohon untuk membatalkan keputusan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang enggan memperbaharui lesen premis perniagaan mereka, yang menyebabkan mereka tidak dapat menjalankan operasi perniagaan loteri.

Mereka berhujah bahawa hal ehwal berkaitan pengeluaran lesen perjudian adalah di bawah bidang kuasa undang-undang persekutuan.

Justeru, mereka menyifatkan keputusan pihak berkuasa negeri sebagai tidak rasional, melebihi kuasa yang diperuntukkan kepada majlis perbandaran dan kerajaan negeri, serta bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.