JEMPOL - Seorang maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dengan tiga motosikal di Kilometer 27, Jalan Bahau- Kemayan pada petang Ahad.
Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, mangsa yang maut ialah R Jayaseelan,28, mengalami cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, kemalangan itu membabitkan dua kereta Proton Waja dengan sebuah Perodua Myvi dipandu mangsa selain tiga motosikal ditunggangi lelaki berusia berusia 29 dan 42 tahun.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Proton Waja dipandu lelaki berusia 38 tahun dari arah Kemayan ke Bahau cuba memotong tiga buah motosikal di hadapannya.
“Ketika memotong, datang kereta mangsa dari arah bertentangan menyebabkan berlaku pertembungan di bahagian hadapan sebelah kanan.
"Situasi itu menyebabkan Proton Waja itu hilang kawalan lalu melanggar ketiga-tiga motosikal berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Pada masa sama katanya, sebuah lagi Proton Waja dipandu suri rumah berusia 38 tahun turut bergesel dengan kereta si mati.
Ujarnya, pemandu wanita tidak mengalami sebarang kecederaan sementara pemandu Proton Waja yang juga seorang lelaki dan semua penunggang motosikal cedera dan telah dihantar ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan.
Ujarnya, saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jempol, Inspektor Mohd Amirul Syafiq Mohd Yusof di talian 016-2348669.
-