LUMUT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi pendirian tegas kerajaan dalam memerangi rasuah dan penyelewengan dengan memberi jaminan bahawa tiada sesiapa akan dilindungi, sama ada dari blok kerajaan, pembangkang atau bekas pemimpin terdahulu.
Beliau berkata, kerajaan di bawah pimpinannya tidak akan menghalang mana-mana siasatan atau tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), asalkan individu yang terlibat benar-benar melakukan kesalahan.
"Tangkap hari-hari pun saya tak peduli. Saya tidak halang... ini ada yang kata nak tangkap Sabah lagi.
"Tangkaplah siapa sahaja – orang kerajaan Perpaduan, orang pembangkang atau yang dah pencen pun. Asalkan betul dia curi, tangkaplah,” katanya ketika berucap dalam perasmian penutup Program Madani Rakyat 2025 Perak di Lumut Waterfront di sini pada Ahad.
Memberi contoh beberapa kes melibatkan bekas menteri yang dikaitkan dengan skandal kewangan bernilai berbilion ringgit, Anwar berkata, masih ada antara mereka yang cuba mendapat simpati masyarakat dengan alasan usia dan status.
"Ada mantan-mantan menteri, kesian katanya dah tua. Saya pun kesian, tetapi kalau kamu curi wang rakyat, perlu pulangkan," katanya.
Anwar menambah, Kerajaan Madani yang dipimpinnya akan terus mempertahankan tadbir urus pentadbiran yang betul dan berpegang kepada prinsip ketelusan tanpa kompromi.
Katanya, ini termasuklah budaya sakau dan pemberian projek tanpa tender yang perlu dihentikan kerana merosakkan integriti pentadbiran dan menafikan hak rakyat terhadap perkhidmatan yang lebih baik.
"Saya nak kutip balik siapa sahaja yang curi daripada negara ini. Itu dasar kita. Jadi saya harap bagilah kerjasama supaya kita dapat teruskan kerja dengan baik," katanya.
Anwar menegaskan bahawa beliau tidak berdendam terhadap individu yang pernah menganiayanya secara peribadi, namun ia berbeza sekiranya melibatkan harta negara.
“Dulu kamu hina aku, kamu penjarakan aku, kamu pukul aku... sekarang jadi Perdana Menteri aku maafkan semua. Tapi kalau kamu curi harta rakyat, itu bukan milik aku. Kamu wajib bagi balik,” katanya.