Jurulatih bola sepak ditahan cabul dua remaja perempuan

Iklan
Suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kini direman selama enam hari. Foto hiasan

KOTA TINGGI – Seorang jurulatih bola sepak persendirian ditahan polis selepas dipercayai mencabul dua remaja perempuan berusia 13 tahun dalam kejadian berasingan di Bayu Damai di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditahan pada 11 Jun lalu, jam 7.30 petang, susulan dua laporan yang diterima berkaitan kejadian pada 10 dan 11 Jun.

Iklan
Iklan

“Suspek disyaki mencabul dua mangsa terbabit di empat lokasi berbeza sekitar kawasan Bayu Damai.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan lanjut mendapati dia mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Tambah beliau, suspek kini direman selama enam hari bermula 12 Jun hingga 17 Jun selepas perintah reman diperoleh daripada Mahkamah Majistret Kota Tinggi.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan jika sabit kesalahan.

Iklan

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil menyalurkannya di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di talian 07-883 7222," katanya.