MOSCOW – Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengadakan satu panggilan telefon selama 50 minit pada Sabtu, di mana kedua-dua pemimpin membincangkan krisis Asia Barat yang semakin memuncak, khususnya ketegangan antara Israel dan Iran yang digambarkan sebagai 'amat membimbangkan'.
Menurut penasihat dasar luar Kremlin, Yuri Ushakov, perbualan itu bersifat 'bermakna dan sangat berguna', diadakan ketika kebimbangan antarabangsa semakin meningkat susulan serangan udara Israel ke atas wilayah Iran baru-baru ini.
"Putin menyampaikan kecaman keras Rusia terhadap tindakan Israel ke atas Iran," kata Ushakov seperti dilaporkan media rasmi Rusia.
Selain membincangkan perkembangan terbaharu di Asia Barat, kedua-dua pemimpin turut menyentuh kemungkinan untuk menyambung semula rundingan berkaitan program nuklear Iran.
Menurut agensi Interfax, Trump memaklumkan kepada Putin bahawa wakil rundingan Amerika Syarikat bersedia untuk berunding semula dengan Iran, menunjukkan keinginan Washington untuk mencari penyelesaian diplomatik di sebalik krisis ketenteraan yang sedang memuncak.
Dalam perbualan itu juga, isu berpanjangan perang Rusia-Ukraine turut disentuh.
Ushakov berkata, Trump menunjukkan minat terhadap penyelesaian segera konflik tersebut, manakala Putin menyatakan kesediaan Rusia untuk menyambung rundingan dengan Ukraine selepas 22 Jun.
Perkembangan ini mencetuskan spekulasi kemungkinan satu usaha diplomatik baharu akan digerakkan oleh kedua-dua kuasa besar dunia itu, dalam usaha meredakan dua konflik utama dunia di Ukraine dan Asia Barat yang kini mengancam kestabilan global. - Agensi