Projek BDIFIP bernilai RM2 bilion pacu industri perikanan negara

Iklan
Ahmad Zahid (tengah) sesi menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Younchang Engineering (M) Sdn Bhd dan MingCheng Group Co Ltd.
BAGAN DATUK - Projek Taman Perindustrian Perikanan Antarabangsa Bagan Datuk (BDIFIP) yang melibatkan pelaburan bernilai lebih RM2 bilion akan dibangunkan secara berperingkat selama enam tahun bermula 2027.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek pelaburan berimpak tinggi itu akan dibangunkan di atas tanah milik Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) seluas 127.8 hektar di wilayah Baroh, daerah ini.

“Bagan Datuk telah lama dikenali sebagai salah satu pusat pendaratan ikan terbesar di negeri Perak dan Hutan Melintang sahaja mencatatkan lebih 400 buah kapal dan bot nelayan yang beroperasi aktif setiap hari, menjadikan kawasan ini antara penyumbang terbesar kepada hasil laut negara.

Iklan
Iklan

“Projek ini turut memperlihatkan komitmen teguh kerajaan dalam merealisasikan visi transformasi ekonomi negara melalui sektor perikanan dan makanan halal serta mampu menarik pelabur antarabangsa seperti China, Korea Selatan, Australia dan negara-negara Asia Tenggara,” katanya selepas menyempurnakan majlis prapelancaran BDIFIP di Dewan Dato’ Lope Hashim di sini, pada Sabtu.

Ahmad Zahid merasmikan majlis prapelancaran BDIFIP di Dewan Dato' Lope Hashim di Bagan Datuk.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu turut menyarankan supaya lesen syarikat pelabur asing itu dihadkan kepada aktiviti memproses hasil laut, manakala penangkapan ikan laut dalam perlu diberikan kepada rakyat tempatan.

Iklan

“Beberapa pendekatan telah digunakan dan syarat telah diperketatkan, dengan bahan-bahan mentah itu mesti diproses melalui aktiviti hiliran agar nilai tambah dapat diwujudkan, dan ini memberikan keberhasilan yang tinggi untuk negeri kita.

“Saya diberitahu bahawa kedua-dua syarikat ini cuba untuk mendapatkan lesen nelayan laut dalam. Biarkan mereka mempunyai lesen memproses sahaja, manakala lesen untuk memunggah kekayaan khazanah laut dalam itu mesti diberikan kepada rakyat tempatan.

Iklan

“Sekiranya Jabatan Perikanan tidak dapat memberikan lesen-lesen kepada individu, sila berikan lesen itu kepada MB Inc. dan cari mereka yang mempunyai potensi untuk disewa lesen ini,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, projek tersebut akan menjadi pemangkin transformasi sosioekonomi yang bakal mengubah nasib penduduk Bagan Datuk dan kawasan sekitarnya.

“Saya minta belia-belia mempunyai daya tahan untuk bekerja dalam sektor ini. Saya juga mahu kuasa beli di sini dipertingkatkan dengan kewujudan 5,500 pekerjaan melalui kawasan industri ini nanti.

“Saya akan memantau secara peribadi perkembangan kawasan industri ini. Saya tidak mahu tanah diperoleh di Bagan Datuk dan kerajaan negeri tetapi digunakan untuk mencagar tanah itu bagi mendapat pinjaman. Cukuplah dengan pengalaman yang lampau,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara MB Inc. Perak dan Younchang Engineering & Construction (M) Sdn. Bhd.

Selain itu, turut berlangsung sesi menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara Younchang Engineering (M) Sdn. Bhd. dan MingCheng Group Co. Ltd., yang membuka laluan kerjasama antarabangsa lebih luas terhadap ekosistem pelaburan projek ini.