Brek rosak dipercayai punca treler rempuh kereta di lampu isyarat

Iklan
Brek rosak dipercayai menjadi punca sebuah treler gagal berhenti sebelum merempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Taman Tas, Batu 8 Jalan Gambang, di sini, pada Jumaat.

KUANTAN – Brek rosak dipercayai menjadi punca sebuah treler gagal berhenti sebelum merempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Taman Tas, Batu 8 Jalan Gambang, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kemalangan kira-kira jam 8.10 pagi itu, pemandu kereta jenis Perodua Bezza, seorang lelaki berusia 34 tahun, dilaporkan cedera.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemandu treler berusia 55 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, treler jenis Hino terbabit dipercayai dalam perjalanan menghala ke arah Pekan, manakala kereta dipandu oleh pekerja kedai tayar datang dari arah Taman Tas menghala ke arah Air Putih.

Iklan

“Ketika tiba berhampiran persimpangan lampu isyarat tersebut, pemandu mendakwa brek treler dipandunya mengalami kerosakan sehingga menyebabkan kenderaan berat itu gagal berhenti,” katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, akibat masalah tersebut, treler itu melanggar isyarat lampu merah sebelum merempuh kereta yang keluar dari persimpangan berkenaan sehingga terbalik.

Iklan

“Pemandu kereta yang cedera dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 17 LN 167/59),” katanya.

Terdahulu, video kemalangan itu tular di laman sosial selepas dimuat naik oleh netizen ke platform Facebook.

Video berdurasi 33 saat itu, yang dirakam melalui kamera papan pemuka sebuah kenderaan, jelas menunjukkan treler terbabit merempuh kereta yang sedang bergerak sejurus lampu isyarat di laluannya bertukar hijau.