PONTIAN – Usul memperkukuh parti serta persiapan menghadapi tiga Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Melaka dan Johor dijangka menjadi tumpuan utama mesyuarat Persidangan Bahagian UMNO di seluruh negara yang bermula minggu ini.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, PRN Sabah yang dijangka berlangsung lebih awal berbanding PRN Melaka dan Johor perlu diberi tumpuan khusus termasuk dari segi logistik, gerak kerja akar umbi dan pengukuhan mesej parti.
“Usul persiapan PRN Sabah, Melaka dan Johor perlu diketengahkan dalam mesyuarat 191 bahagian UMNO di seluruh negara kali ini.
“Namun, PRN Sabah paling utama kerana ia dijangka berlangsung terlebih dahulu mengikut jadual semasa. Kita mahu UMNO benar-benar bersedia,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian berkata demikian semasa Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pontian, Datuk Sumali Reduan dan Ketua Wanita UMNO Pontian, Hasrunizah Hassan.
Ahmad, yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor, menjelaskan bahawa usul tersebut perlu disertai dengan syor untuk memperkasakan struktur kira-kira 22,050 cawangan UMNO di seluruh negara yang merupakan akar umbi terpenting parti.
“UMNO tidak seperti parti lain yang hanya mempunyai puluhan cabang. Kekuatan kita terletak pada jumlah dan sistem akar umbi. Itu yang perlu diperkukuhkan sebelum PRN Sabah bermula.
“Kalau kita mantapkan cawangan, bahagian akan jadi kuat. Kalau bahagian kuat, PRN kita boleh menangi,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan agar peringkat cawangan diberi peranan lebih besar dalam mobilisasi awal jentera pilihan raya melalui pendekatan yang lebih dekat dengan rakyat seperti program pendidikan dan sokongan kebajikan.
Ia termasuk pemberian anugerah pendidikan kepada anak ahli yang cemerlang serta insentif kehadiran mesyuarat sebagai usaha meningkatkan penyertaan akar umbi.
Tambahnya lagi, UMNO juga digesa memastikan kewujudan parti dapat dilihat secara fizikal melalui pemasangan papan tanda rasmi di semua cawangan.
“Di Pontian sahaja ada 117 papan tanda UMNO cawangan. Kalau kita pergi ke seluruh kawasan Parlimen Pontian, kita akan nampak papan tanda cawangan,” katanya.
Turut dicadangkan ialah pemberian insentif kepada ahli yang hadir mesyuarat cawangan seperti perlindungan insurans kumpulan sebagai galakan meningkatkan kehadiran ahli.
Sebelum ini, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah menetapkan tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2025 dari 20 hingga 23 Ogos.
Sementara itu, Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian akan berlangsung dari 9 Jun hingga 27 Julai ini.