'Sebelum tanya Ketua Pemuda UMNO, tanya dulu suara Ketua Armada' - Wan Ahmad Fayhsal

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal.

SHAH ALAM – Hantaran Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di laman Facebook miliknya sekali lagi mencetuskan persoalan apabila dilihat ‘menembak’ parti sendiri.

Terbaharu, Ahli Parlimen Machang itu menempelak kenyataan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berhubung isu membabitkan bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther.

Iklan
Iklan

Tun Faisal menerusi hantaran di media sosialnya sebelum itu mempersoalkan pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh susulan tiada kenyataan dikeluarkan selepas Muhammed Yusoff dilepas dan dibebaskan (DNA) atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis.

“Sebelum tanya Ketua Pemuda UMNO, tanyalah dulu mana suara Ketua Armada Nasional dalam hal ini. Sudahkah beliau keluarkan kenyataan dalam hal ini?” soal Wan Ahmad Fayhsal.

Iklan

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan untuk memberikan DNA selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammed Yusoff, 32, di akhir kes pendakwaan.

Kes membabitkan Muhammed Yusoff menjadi perhatian ramai susulan tindakannya yang turut memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2021, mendakwa bahawa beliau telah diserang di kediaman Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu di Segambut pada Oktober 2018.

Iklan

Terdahulu, tindakan Wan Ahmad Fayhsal mempersoalkan ketiadaan Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden dalam program Jelajah Bersatu sebelum ini turut mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk kemungkinan wujud krisis dalaman.

Kenyataan bekas Ketua Armada itu bagaimanapun dikritik oleh Tun Faisal yang meminta agar sebarang permasalahan atau isu berbangkit mengenai parti dibincangkan dalam kumpulan WhatsApp Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).