Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan bahawa semua tindakan yang diambil adalah berasaskan libat urus bersama pihak industri, penyedia perkhidmatan dan para pesawah.
Menurutnya, Kerajaan Madani tidak akan berkompromi dalam memastikan kelangsungan sektor padi serta kesejahteraan pesawah terus dipelihara.
“Kementerian mengambil maklum kenyataan yang telah dibangkitkan berhubung pemberian insentif pembajakan dan penuaian kepada pesawah.
“Ingin ditegaskan bahawa Kerajaan Madani sentiasa mendengar dan mengambil serius kebajikan serta kepentingan pesawah.
“Pelbagai langkah penambahbaikan telah dan sedang dirangka bagi memastikan segala insentif kepada pesawah disalurkan secara adil, tepat dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada 30 April lalu, Sinar Harian melaporkan rungutan dalam kalangan pesawah serta pembekal perkhidmatan membajak dan menuai yang mendakwa masih belum menerima bayaran seperti yang diumumkan oleh KPKM pada 11 Jun 2024.
Menurut mereka, kerajaan sebelum ini mengumumkan peningkatan insentif pembajakan daripada RM100 kepada RM160 per hektar, serta insentif penuaian sebanyak RM50 per hektar, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM210 per hektar bagi setiap musim.
Kegagalan menyalurkan bantuan tersebut bukan sahaja menjejaskan aliran tunai pesawah, malah turut menambah beban dalam situasi kenaikan kos operasi yang berterusan.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, maklumat terperinci mengenai insentif tersebut dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.