Maritim Malaysia siasat akaun media sosial iklan servis bawa masuk PATI

Iklan
Tangkap layar video tular mempromosikan khidmat membawa masuk dan pulang warga asing melalui jalan tidak sah.

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan meneliti kandungan akaun media sosial yang memuat naik iklan promosi perkhidmatan haram membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan semua agensi terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mendapatkan maklumat bagi tujuan pemantauan dan siasatan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Maritim Malaysia memandang serius terhadap aktiviti pengiklanan bagi kegiatan terbabit.

"Perbuatan sindiket serta individu tidak bertanggungjawab menawarkan perkhidmatan berkenaan kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah dengan menggunakan laluan laut yang tidak diwartakan untuk keluar dan masuk ke negara ini disifatkan bukan sahaja melanggar undang-undang negara malah mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Iklan

“Kegiatan ini juga membahayakan nyawa penumpang kerana pihak terbabit tidak mengambil kira aspek keselamatan seperti penyediaan jaket keselamatan atau pelampung, malah sering membawa muatan melebihi kapasiti bot," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Tangkap layar video tular mempromosikan khidmat membawa masuk dan pulang warga asing melalui jalan tidak sah.

Beliau berkata, Maritim Malaysia juga akan melaporkan aktiviti pengiklanan terbabit kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyekat akaun media sosial yang dikesan daripada terus mengiklankan perkhidmatan tersebut.

Iklan

Tegas Mohd Rosli, pihaknya tidak akan berkompromi dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih agresif terutamanya dalam meningkatkan rondaan serta operasi penguatkuasaan di sempadan perairan negara.

"Kita juga telah mengerakkan pesawat udara untuk melaksanakan pemantauan udara serta meningkatkan lagi pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) bagi mengesan kehadiran bot-bot warga asing tersebut," ujarnya.

Jelasnya, untuk rekod, sepanjang tahun lalu, sebanyak 68 cubaan penyeludupan PATI berjaya digagalkan melibatkan penahanan 236 individu dari pelbagai negara.

"Keselamatan sempadan maritim negara adalah tanggungjawab bersama," katanya.

Kata beliau, orang ramai khususnya komuniti nelayan, penduduk pesisir pantai serta orang awam untuk tampil menjadi mata dan telinga agensi penguat kuasa dengan menyalurkan sebarang maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan.

"Sebarang maklumat boleh dilaporkan terus ke talian kecemasan 999 atau ke pusat operasi Maritim Malaysia terdekat untuk tindakan segera," katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial beberapa video memaparkan tawaran aktiviti membawa masuk dan keluar beberapa warga asing melalui laluan laut secara tidak sah.