KOTA BHARU – Seorang lelaki ditemui mati di kaki lima berdekatan stesen bas lama di sini pada Jumaat.
Mangsa dipercayai berusia lingkungan 50-an dikatakan rebah sekitar jam 9 pagi sebelum disedari beberapa individu yang berada di situ.
Seorang peniaga kedai runcit berhampiran lokasi kejadian, Abu Bakar Sidek, 28, berkata, dia terdengar kekecohan apabila beberapa warga asing mula mengerumuni seorang lelaki yang juga warga asing tidak sedarkan diri di tepi dinding gerai kopi bersebelahan kedainya.
“Saya tanya kawan dia, katanya lelaki itu sempat bercakap dalam telefon sebelum rebah.
“Selalu juga saya nampak dia duduk-duduk di kawasan ini setiap hari,” katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Menurut Abu Bakar, sepanjang lebih 10 tahun berniaga di kawasan itu, ini kali pertama kejadian kematian berlaku secara tiba-tiba di situ.
“Semasa dia tak sedarkan diri, pemilik gerai kopi membantu menelefon ambulans namun mangsa disahkan meninggal dunia
“Pihak polis tiba di lokasi kejadian dan membawa mayat mangsa ke hospital,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah setakat ini dan pihaknya menemukan kad rawatan jantung mangsa.
“Identiti sebenar serta status kerakyatan mangsa masih disiasat, termasuk sama ada dia memiliki status pelarian.
“Kita sedang tunggu laporan bedah siasat untuk menentukan punca kematian sebelum keluarkan kenyataan rasmi,” katanya.