TEHERAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, berikrar bahawa rejim Zionis Israel akan menerima balasan yang 'amat menyakitkan' susulan serangan udara ke atas Iran yang mengorbankan beberapa pegawai kanan tentera dan saintis nuklear.
Dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan beberapa jam selepas serangan, Ali Khamenei menyifatkan tindakan Israel itu sebagai satu jenayah besar terhadap Republik Islam.
“Demi ALLAH, tangan kekuatan Angkatan Tentera Republik Islam tidak akan membiarkan jenayah ini tidak dibalas.
“Dalam serangan musuh ini, beberapa komander dan saintis telah gugur sebagai syahid. Namun, pengganti serta rakan-rakan mereka akan segera menyambung perjuangan dan tugas yang ditinggalkan, insya-Allah,” katanya sambil menambah bahawa negara itu akan melaksanakan hukuman yang setimpal.
Tambahnya lagi, “Dengan jenayah ini, rejim Zionis telah menyeret dirinya kepada takdir yang pahit dan menyakitkan — dan mereka pasti akan merasainya.”
Sementara itu, Jurucakap Angkatan Tentera Iran, Brigedier Jeneral Abolfazl Shekarchi, turut memberi amaran bahawa tindak balas balas akan menjadi sangat berat dan pasti dikenakan ke atas Israel.
“Musuh Zionis dan sekutunya akan membayar harga yang sangat mahal,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi IRNA.
Media kerajaan Iran turut melaporkan bahawa beberapa letupan besar turut berlaku di kemudahan nuklear Natanz, terletak di wilayah Bushehr. Tapak tersebut merupakan pusat pemprosesan pengayaan uranium utama negara itu.
Sebagai rekod, kemudahan sama pernah mengalami serangan sabotaj besar pada tahun 2021 yang menyebabkan gangguan kuasa besar dan kerosakan ke atas sistem bawah tanahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Negara Amerika Syarikat mengarahkan semua kakitangan kerajaan dan ahli keluarga mereka di Israel agar berlindung di tempat masing-masing sehingga diberitahu kelak.
Dalam notis rasmi, Kedutaan AS di Tel Aviv memaklumkan langkah tersebut diambil atas faktor keselamatan, dan semua warganegara diminta meningkatkan kewaspadaan serta mengambil langkah berjaga-jaga sewajarnya.-Agensi