Lapor segera kandungan lucah - Fadhlina

Iklan
Fadhlina Sidek berkata, KPM memandang serius laporan media mengenai kewujudan halaman pedofilia di media sosial yang memaparkan murid sekolah.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa semua pihak perlu segera melaporkan kewujudan kandungan lucah dan tidak bermoral di media sosial bagi melindungi murid daripada ancaman jenayah siber.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, KPM memandang serius laporan media mengenai kewujudan halaman pedofilia di media sosial yang memaparkan murid sekolah.

Iklan
Iklan

“Kewujudan halaman media sosial yang memaparkan kandungan lucah dan tidak bermoral perlu dibendung. Ia perlu segera dilaporkan dan diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujar beliau, kementerian telah menyediakan modul Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) bagi meningkatkan tahap kesedaran kesihatan reproduktif dalam kalangan masyarakat, khususnya murid, guru dan ibu bapa.

Iklan

“Tempoh masa pengajaran bagi modul PEERS juga akan ditambah dalam pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 bagi memperkukuh kesedaran dan pendidikan berkaitan,” jelasnya.

Fadhlina berkata, semua institusi pendidikan di bawah KPM diminta mematuhi garis panduan sedia ada bagi menangani isu gangguan seksual.

Iklan

“Khidmat sokongan psikososial juga perlu terus diperkukuh untuk memberi sokongan kepada murid.

“Dalam masa sama, ibu bapa turut digesa memainkan peranan proaktif di rumah dengan mendidik dan melindungi anak-anak daripada ancaman gangguan seksual.

“Mereka bertanggungjawab memastikan maruah anak-anak dipelihara,” katanya.

Sebelum ini, tular satu kumpulan awam di Facebook dikenali sebagai ‘Grup Budak-budak Sekolah Rendah’ yang telah mencetuskan kemarahan orang ramai susulan penyebaran gambar remaja perempuan dengan tujuan tidak senonoh.

Kumpulan tersebut bagaimanapun didapati tidak lagi boleh diakses sejak petang Rabu.